Wanita terkedu mahkamah persoal anak makan 3 kali sehari, ada halia dalam resit tuntutan nafkah
"PERGI mahkamah untuk nafkah anak hari ini, hakim tanya pasal resit bahan basah. Dua soalan tak boleh 'brain' sampai sekarang."
Itulah antara luahan seorang wanita di Threads yang berkongsi pengalaman ketika prosiding tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah.
Menurut perkongsian wanita itu, dia menganggap soalan yang diajukan oleh hakim berkaitan keperluan dan perbelanjaan harian anaknya sebagai tidak masuk akal.
"Anak dua tahun 10 bulan ni betul ke makan tiga kali sehari, makan nasi? Resit bahan basah ada halia?
"Habis tu dia ingat anak mula makan umur berapa eh? Takkan minum susu je sampai ke besar? Halia tu dia ingat nak buat apa, buat jadi mainan ke?" dia terkedu mendengar soalan-soalan yang diajukan.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan ada yang mempertikai logik soalan tersebut dan ada juga mempertahankan prosedur mahkamah sebagai sebahagian proses semakan bukti.

"Seriuslah hakim tanya pasal halia tu? Hakim tu nak suruh anak makan nasi dengan garam je ke macam mana?
"Jadinya kalau bercerai memang bila tuntut nafkah kena spesifikan segala benda, sehari makan tiga kali pun jadi isu? Hakim tu tak tahu ke budak sekarang makan 10 kali?
"Kita ni mak makan tak adalah sampai berkira, bila sampai kat hakim begitu pula ye patutlah lelaki kat dunia ni besar kepala!" kata seorang netizen.
Ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri ketika menyediakan dokumen sokongan lengkap untuk membuat tuntutan di mahkamah termasuk mengasingkan resit barangan anak dan perbelanjaan peribadi.
MENARIK DIBACA: Dah jemput, kutuk pula! Tuan rumah bengang jiran datang majlis habiskan makanan, tak reti balik
MENARIK DIBACA: 7 tip, pantang larang masak sotong celup tepung! Salutan rangup, tak tertanggal
"Saya pernah hantar penyata tuntutan ke mahkamah, setiap kali beli barangan dapur akan minta cashier asingkan resit, barang anak saya resit lain serta barang peribadi saya resit lain... bayaran guna kad kredit atau kad bank jangan guna tunai.
"Penyata bank akan hantar masuk ikatan dokumen termasuk resit saya tenderkan tiga bulan punya resit dan penyata bank untuk elakkan pihak sana berdebat sama ada resit tu milik kita atau orang lain, hakim boleh semak transaksi belanja.
"Kalau saya nak tuntut apa-apa kena sediakan bukti lengkap. Bukan sekadar resit kalau boleh ambil gambar dan video menu yang dimasak sekali. Buat rekod harian, macam saya nak file tuntutan nusyuz hari tu dokumen tebal hampir tiga inci saya buat," demikian antara nasihat netizen.

Dalam masa sama, seorang netizen dipercayai peguam menjelaskan bahawa soalan-soalan seperti itu mungkin bertujuan untuk menguji ketepatan dan kejujuran keterangan yang diberikan di mahkamah.
"Soalan tu biasa sebab nak uji kebenaran keterangan mak. Ada kes mak tak pernah masak pun jadi depan hakim kata masak dan tuntut kos. Bila hakim tanya soalan-soalan yang kita rasa tak wajar pun tapi tu soalan untuk uji keabsahan keterangan.
"Ada kes, si ibu ni tak kenal pun halia tu macam mana. Google je resipi untuk tuntut kos bahan mentah tapi bila suruh terangkan ciri-ciri halia pun tak boleh. Belum lagi hakim uji daun sup dengan daun ketumbar," kongsinya.
Walaupun sesetengah individu merasakan soalan seperti kekerapan makan atau kandungan bahan dalam resit kedengaran remeh, harus diketahui bahawa proses mahkamah memerlukan penilaian terperinci bagi memastikan setiap tuntutan mempunyai asas dan bukti yang kukuh.