KUALI | Trending

Reviu rendah influencer sampai tiada pelanggan, 3 beradik bangkit perbaiki kualiti pizza wagyu... Jenama Bienz kini jadi buruan sampai ke Singapura!

Lead Image

BERBEKALKAN minat terhadap dunia kulinari, tiga beradik ini mengambil keputusan membangunkan jenama mereka sendiri iaitu Bienz.

Menu utama yang dijual adalah pizza yang dipadankan dengan wagyu A5 miyazaki sebagai tarikan menarik pelanggan.

Pengasas bersama Bienz, Raffil Jamir, keistimewaan jenama ini bukan sekadar terletak pada penggunaan wagyu tetapi turut menitikberatkan pada rasa asas pizza itu sendiri.

“Wagyu memang tengah trending. Kalau letak sahaja wagyu memang senang laris.

Tiga beradik ini sering muncul mempromosikan jenama mereka.

“Tapi keistimewaan kami sebenarnya terletak pada doh yang kami gunakan iaitu sourdough. Kami mahu tampilkan sesuatu yang berbeza,” katanya kepada Kuali.

Selain Raffil, Bienz turut diuruskan bersama dua beradik lain, Raffzan Jamir dan Razdan Fiqrul Jamir.

Bagi tiga beradik ini, pizza wagyu bukan sekadar menu tetapi taruhan besar dalam perjalanan perniagaan keluarga.

Malah mereka sedar minat sahaja dalam bidang kulinari bukan jaminan hidangan disediakan dapat memikat hati pelanggan.

MENARIK DIBACA: Aiskrim santan resipi tradisional dengan sentuhan moden mengimbau nostalgia!

MENARIK DIBACA: AMK Fried Chicken bukan sekadar ayam goreng, kualitinya pula setanding jenama terkenal

Bagaimanapun kata Raffzan, reviu negatif daripada seorang pempengaruh makanan membuatkan mereka tersedar dan perlu membuat perubahan.

“Semasa dia datang, dia beri reviu yang agak rendah kepada kami. Dia samakan pizza kami dengan satu jenama francais, dan mendakwa tiada rasa wagyu langsung.

“Ia memberi kesan yang besar. Dalam dua ke tiga hari, perniagaan kami bukan sahaja perlahan, malah restoran terus kosong,” kongsinya.

Mereka bagaimanapun tidak cepat melatah sebaliknya menjadikan kritikan itu sebagai pemangkin untuk memperbaiki kualiti dan rasa hidangan.

Perniagaan kami bukan sahaja perlahan, malah restoran terus kosong

 Raffzan Jamir

Pengasas Bersama Bienz

Malah, video reviu tersebut secara tidak langsung membantu menaikkan nama Bienz dan menarik lebih ramai pelanggan.

“Alhamdulillah, daripada komen yang dia bagi itu kami terima secara positif dan cuba untuk tambah baik. 

“Dari situlah baru perniagaan kami berjalan seperti biasa dan pelanggan sudah mula datang," tambahnya lagi.

Selain pizza wagyu, hidangan lain seperti bolognese wagyu pasta, creamy buttermilk pasta serta tiramisu turut menjadi kegemaran ramai.

Kini, selepas setahun beroperasi, Bienz semakin kukuh sebagai antara jenama pilihan pencinta pizza premium.

Hidangan pizza dipadankan dengan kombinasi daging wagyu A5 miyazaki.

Bukan itu sahaja, mereka turut menerima pelanggan bukan sahaja dari seluruh Malaysia malah dari Singapura dan Brunei.

“Pelanggan kami datang dari seluruh Malaysia. Pernah satu ketika kami menerima pesanan 10 pizza wagyu untuk dihantar sehingga ke Kedah.

"Pelanggan itu sanggup menggunakan khidmat Lalamove semata-mata mahu menikmati sendiri keenakan pizza kami.

"Bukan itu sahaja, kami sering menerima kunjungan daripada pelanggan Singapura dan Brunei, dan mereka juga banyak membantu mempromosikan jenama kami,” jelasnya.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Nasib baik ‘keluar’ masa buang air besar, kes kanak-kanak tertelan keychain Ultraman patut dijadikan iktibar

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Minyak masak terpakai jangan dibuang, ini 5 tempat boleh dijual selain ejen persendirian

Terhangat