Minyak masak terpakai jangan dibuang, ini 5 tempat boleh dijual selain ejen persendirian
BIASANYA apabila selesai memasak, minyak goreng yang sudah digunakan berulang kali akan dibuang.
Namun menurut pengguna Facebook @dapur.che.kam, tindakan itu sebenarnya merugikan kerana minyak tersebut masih ada nilai dan boleh dijual untuk tujuan kitar semula.
Malah, ia mempunyai permintaan tinggi dalam industri kerana ia diproses untuk dijadikan bahan asas biodiesel.

"Jangan risau, minyak masak ini bukan dikitar semula untuk dijadikan minyak masak baru.
"Ia diproses khas untuk menghasilkan biodiesel yang digunakan oleh kenderaan tertentu," jelasnya.
Tambahnya lagi, kaedah ini bukan sahaja menguntungkan malah boleh membantu menjana pendapatan, terutama bagi mereka yang kerap memasak di rumah.
Difahamkan, harga minyak masak terpakai boleh mencecah antara RM3 hingga RM3.70 sekilogram (kg).
MENARIK DIBACA: Ambil tahu 6 istilah makanan Jepun ini serta maksudnya
MENARIK DIBACA: ‘Tewas’ dengan teh ais Thai, teh tarik minuman ke-34 terbaik dunia
Berikut cara mudah kumpul minyak masak terpakai di rumah:
- Tapis minyak selepas digunakan – buang sisa makanan supaya tidak cepat berbau.
- Simpan dalam botol plastik bersih.
- Kumpul dalam kuantiti banyak - biasanya pembeli menetapkan jumlah minimum, contohnya 5kg ke atas.
- Hantar ke pusat pengumpulan / ejen

Selain ejen persendirian, anda juga boleh menghantar minyak masak terpakai ke organisasi berikut:
1. Stesen Petronas
Beberapa stesen Petronas di seluruh Malaysia menerima dan membeli minyak masak terpakai mengikut isipadu.
2. Alam Flora
Hantar ke pusat pengumpulan Alam Flora atau gunakan perkhidmatan 3R on Wheels (3RoW) di sekitar Lembah Klang dan Pahang.

3. Arus Oil
Menawarkan perkhidmatan pengumpulan minyak dari rumah (door-to-door).
4. FatHopes Energy
Menggunakan rangkaian ejen untuk mengumpul minyak masak terpakai melalui kaedah drop-off.
5. Trash4Cash
Menyediakan beberapa pilihan, termasuk tong kitar semula, pandu lalu serta engumpulan pintu ke pintu.