Sekarang dianggap menu mewah, asalnya lobster hidangan harian banduan di penjara
PERNAH digelar sebagai lipas laut, kini udang karang atau lobster adalah hidangan mewah disajikan sebagai menu utama di kebanyakan restoran ternama dunia.
Menu berasaskan lobster sering dikaitkan dengan majlis eksklusif seperti makan malam atau sambutan mewah di hotel lima bintang.
Bahkan, harga bagi seekor lobster segar boleh mencecah ribuan ringgit sekilogram menjadikan hidupan laut itu simbolik status sosial penggemarnya.
Namun, tidak ramai sedar bahawa suatu ketika dahulu, lobster sebenarnya tergolong sebagai sumber protein untuk individu miskin, banduan dan buruh kontrak.

Lambakan udang kara
Sejarah bermula sekitar penerokaan Eropah di Amerika Utara yang mana udang kara sangat mudah ditemui apatah lagi ketika itu ia dianggap habitat pencemar di pesisiran laut.
Malah, setiap kali ribut melanda, udang kara akan terdampar di pesisir pantai dalam jumlah banyak malah boleh dikutip dengan tangan tanpa memerlukan sebarang kemahiran atau peralatan khas.
Disebabkan ia terlalu mudah diperoleh, lobster dianggap sebagai sumber makanan murah bahkan tidak dihargai golongan atasan.
Malah, lobster juga digunakan sebagai baja, makanan ternakan selain dihidangkan kepada banduan di penjara.
MENARIK DIBACA: ZUS Coffee tutup operasi 23 Oktober, tanda penghargaan buat Zuristas dan pelanggan setia
MENARIK DIBACA: “Kalau 10 orang macam ni, bankrap mamu!” – Influencer minta makan free, siap bawa famili ‘pekena’ nasi kandar Penang
Pasaran lobster mula berubah
Persepsi terhadap lobster mula berubah menjelang akhir abad ke-19.
Ketika itu, kemajuan dalam teknologi pengetinan membolehkan lobster diproses dan dihantar ke kawasan pedalaman sebagai sumber protein murah.
Bagi penduduk kawasan pedalaman tidak mengetahui stigma asal lobster, makanan ini dianggap eksotik.
Restoran pula mengambil peluang mempromosikan lobster sebagai hidangan istimewa dari laut.

Menjelang awal abad ke-20, pelancong kaya mula mengaitkan lobster sebagai sebahagian daripada pengalaman bercuti di kawasan pesisir pantai.
Pasaran ini sekali gus mengubah kedudukan lobster dalam sektor makanan dan kian dianggap sebagai makanan mewah.
Hari ini, lobster terus dikenali sebagai makanan eksklusif dengan harga tinggi berpunca daripada permintaan global semakin meningkat.
Ia juga disumbangkan oleh peraturan penangkapan ketat serta proses penuaian memerlukan tenaga kerja tinggi.