Kopi Turkiye bukan sekadar minuman, tradisi 500 tahun yang terus hidup
TURKIYE bukan sahaja terkenal dengan keindahan landskap dan sejarah di sebaliknya tetapi tradisi dan budaya minum kopi dalam kalangan masyarakatnya.
Cara penyediaan dan sajian kopi Turki juga sangat unik menjadikan ia memiliki makna tersendiri yang sarat dengan sejarah dan kisah tersendiri.
Malah Turkiye turut mewujudkan setiap 5 Disember sebagai Hari Kopi Turki Sedunia malah ia turut termasuk dalam Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2013.
Lebih membanggakan, kopi Turki sekali lagi mengukuhkan kepentingan budaya dan sejarahnya pada skala global dengan menjadi nama produk tradisional pertama Turkiye yang didaftarkan secara rasmi di Kesatuan Eropah (EU).

Mengimbau kembali kisah panjang tentang kopi Turki, minuman hitam pekat dengan rasa pahit tapi memikat itu memiliki sejarah mejangkau lebih daripada 500 tahun.
Sejarah yang tercatat menunjukkan kopi Turki mula diperkenalkan ke tanah Uthmaniyyah menerusi Yaman pada abad ke-16 sehingga menawan hati masyarakat sekali gus menjadi tradisi yang begitu dihargai.
Melihat pada popularitinya yang kian meningkat, para peniaga mula memperdagangkan biji kopi merentasi sempadan sehingga ke Eropah, seterusnya membina asas kepada budaya kopi di rantau ini.
MENARIK DIBACA: [V] Alah kerang-kerangan, nyawa Nadeera hampir melayang - “Kalau lambat, mungkin saya dah tak ada”
MENARIK DIBACA: Tiktokers kongsi cara mudah buat tau fu fah, siap dapat 25 bekas!
Di sebalik rasanya, kopi Turki sudah sekian lama menjadi adat yang amat dihargai dalam berhubung antara rakan dan keluarga.
Bagi masyarakat tempatan, mereka percaya menghidangkan kopi menjadi lambang keramahan dan kemesraan, seiring dengan pepatah, "secawan kopi menjalin persahabatan selama setahun hingga 40 tahun".
Keunikan kopi Turki bukan sekadar terletak pada kuasanya untuk menyatukan masyarakat tetapi juga budaya asli dimilikinya, daripada penyediaan sehinggalah kepada kenikmatannya.
Bijian kopi panggang yang dikisar halus dibancuh dengan air sejuk dan gula. Lazimnya, kopi Turki disajikan dalam teko kecil yang dipanggil 'cezve', kemudian dipanaskan perlahan-lahan sehingga terbentuk buih sempurna.

Biasanya, kopi Turki disajikan sama ada pahit, sedikit manis, sederhana dan manis.
Kopi Turki secara tradisional dinikmati dalam cawan porselin kecil yang disertai dengan segelas air dan sedikit kudapan manis.
Intinya, kopi Turki bukan sahaja bercerita tentang rasa, tetapi soal nadi kehidupan sosial dan budaya Turkiye.
Setiap cawan menceritakan tentang kisah warisan merangkumi kemesraan budaya masyarakat di negara yang menghubungkan antara Asia dan Eropah itu.