Peniaga tergamam individu minta 'sponsor' 180 pek tiramisu, beri alasan permintaan majikan - “Bos semua cakap sedap”
MENJADI peniaga bukan sahaja perlu memikirkan kualiti produk dan keuntungan, malah berdepan dengan sikap pelanggan yang beraneka ragam!
Ada yang memahami, namun tidak kurang juga yang kerenahnya di luar jangkaan seperti dialami oleh seorang peniaga kek tiramisu ini.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang wanita dikenali sebagai Raa Edora meluahkan rasa kurang senang apabila menerima permintaan tajaan kek tiramisu secara percuma daripada seorang pelanggan.

Lebih mengejutkan, individu tersebut tanpa segan silu meminta 180 pek tiramisu dengan alasan ia merupakan permintaan daripada majikannya.
"Boleh ke sponsor syarikat kitorang tiramisu RM15 tu dalam 180 box?
"Sebab haritu saya ada beli untuk potluck pejabat, boss semua cakap sedap," tulis individu tersebut.
Raa berkongsi tangkap layar perbualan tersebut menerusi hantaran yang sama.
MENARIK DIBACA: Peniaga suka sebab murah, tapi kertas pembungkus makanan ada risiko tak halal
MENARIK DIBACA: Tiramisu berbentuk piano julang cef asal Jepun sebagai juara dunia
Menerusi ruangan kapsyen, peniaga itu mengakui terkedu dengan permintaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
"Memanglah saya jual tiramisu RM15 saja, tapi kalau minta macam ni bankrupt saya.
"Modal bahan-bahan guna je dah beribu ringgit, lagi nak sponsor orang ke?," ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap selamba dan tidak bertimbang rasa pelanggan tersebut.

"Bukan awak saja, saya pun ikut tergamam baca.
"Dia minta macam minta gula-gula eh!
"RM15.00 X 180 box = RM2,700.00... Senangnya dia hembus je," komen netizen.