Ketahui sebab Jepun tunjuk gambar petani pada sayur, buah-buahan ditanam dan dijual di pasar
KEBANYAKAN pembeli di pasar raya dan pasar tani di Jepun dapat melihat wajah petani yang menanam sayur sayuran yang mereka beli.
Amalan itu dikenali sebagai 'kao no mieru yasai' membawa maksud 'sayur sayuran bersama wajah', di mana gambar dan nama mereka yang menanamnya dicetak pada bungkusan hasil pertanian.
Para petani turut menyertakan mesej peribadi atau cerita ringkas tentang ladang mereka pada label, dan inisiatif itu bukan sekadar hiasan sebaliknya pendekatan untuk memupuk kepercayaan dan hubungan antara dua pihak.

Konsep itu sebenarnya mempunyai akar kuat dalam sejarah pertanian Jepun, khususnya dari pergerakan 'teikei' atau satu bentuk pertanian sokongan komuniti yang muncul sekitar tahun 1970.
Walaupun 'teikei' melalui banyak perubahan seiring peredaran masa, elemen melihat wajah petani menjadi simbol hubungan langsung antara pengeluar dan pengguna tanpa perlu melalui perantaraan besar.
MENARIK DIBACA: Hujung Ramadan dah malas masak, mi segera goreng basah jadi penyelamat!
MENARIK DIBACA: Dah ikut segala tip ayam goreng tetap pucat, tak dapat warna keemasan... Di mana silapnya?
Menurut kajian Frontiers in Sustainable Food Systems, konsep 'kao-no-mieru-kankei' juga mula diterapkan sebagai strategi pemasaran dalam pasar konvensional untuk menarik minat pelanggan yang semakin mementingkan integriti makanan.
Amalan itu membolehkan penduduk bandar berinteraksi dengan petani sekali gus merasakan hubungan lebih dekat melalui setiap label makanan yang mereka beli malah membantu pengguna memahami usaha keras di sebalik setiap tanaman.
Bagi sesetengah pengkritik, timbul kebimbangan jika konsep ini semakin dikomersialkan apabila pasar raya besar menggunakannya bukan semata-mata untuk memupuk hubungan tetapi untuk menarik pelanggan.

Mereka berhujah bahawa inti pati konsep asal, iaitu hubungan komuniti tulen, mungkin terhakis apabila ia dijadikan alat pemasaran semata-mata.
Tidak kira bagaimana ia diterjemahkan, 'kao no mieru yasai' jelas memberi impak positif kepada industri pertanian Jepun malah membantu petani kecil mempromosikan hasil dan memperkuatkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan.
Malah, amalan itu turut menarik minat luar negara untuk mengadaptasi pendekatan serupa dalam pasaran mereka sendiri.
