4 sekeluarga maut dalam masa 24 jam selepas makan tembikai
EMPAT beranak di Mumbai, India dilaporkan meninggal dunia selepas menikmati buah tembikai dalam tempoh kurang 24 jam.
Menurut laporan, kejadian tragis itu bermula selepas keluarga berkenaan menikmati nasi biryani ketika makan malam bersama ahli keluarga terdekat.
Namun, hanya mereka berempat sahaja yang dilihat menjamah tembikai sebagai pencuci mulut.
Apa yang peliknya, ahli keluarga lain yang turut menikmati hidangan sama tidak mengalami sebarang simptom atau masalah kesihatan.

Beberapa jam kemudian, keadaan cemas apabila keempat-empat mereka mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit dan tubuh menjadi lemah.
Kesemua mangsa segera dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.
Malangnya, anak bongsu perempuan berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital sekitar jam 10.30 pagi.
Tidak lama selepas itu, kakaknya yang berusia 16 tahun serta ibu mereka turut meninggal dunia pada tengah hari.
Manakala bapa yang berusia 44 tahun pula menghembuskan nafas terakhir pada waktu malam.
MENARIK DIBACA: Pengacara ‘Worst Cooks in America’ Anne Burrell meninggal dunia
MENARIK DIBACA: Asyik kejar views, sampai melayang nyawa... 5 ‘mukbangers’ popular ini maut akibat makan berlebihan
Kejadian ini menimbulkan kebingungan dalam kalangan petugas kesihatan, yang menyifatkan situasi tersebut sebagai aneh.
Doktor yang terlibat dalam rawatan tidak menolak kemungkinan adanya bahan toksik atau bahan kimia lain sebagai punca.
“Keracunan makanan biasanya tidak menyebabkan kemerosotan yang begitu cepat dan teruk seperti ini,” kata seorang doktor.
Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan separa sedar, dan kemerosotan fungsi saraf yang drastik dilihat cenderung berlaku disebabkan keracunan makanan.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang meragut nyawa sekeluarga ini.