China cipta plastik mesra alam dari buluh, terurai dalam masa 50 hari
PLASTIK konvensional terkenal dengan kekuatan dan ketahanannya, tetapi ia juga menjadi antara punca pencemaran alam sekitar terbesar di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Masalah pencemaran plastik kini semakin serius, dengan banyak sisa berbahaya memenuhi sungai, laut dan kawasan awam.
Justeru penyelidik sentiasa mencari alternatif yang lebih mesra alam bagi mengurangkan kesan negatif terhadap persekitaran.
Salah satu inovasi menarik datangnya dari China apabila saintis negara itu membangunkan plastik menggunakan serat semula jadi bambu yang diproses menjadi bioplastik dengan kekuatan hampir setara plastik berasaskan petroleum.
Menurut kajian di Northeast Forestry University, penggunaan sumber semula jadi boleh diperbaharui seperti buluh bukan sahaja mesra alam, malah menunjukkan inovasi saintifik membantu membina masa hadapan lebih lestari.

Keistimewaan utama bioplastik itu adalah ia boleh terurai secara semula jadi dalam tempoh 50 hari berbeza dengan plastik konvensional mengambil ratusan tahun untuk reput.
Berbeza dengan plastik lain, plastik bambu tidak memerlukan kompos industri dan ia terurai secara semula jadi tanpa meninggalkan mikroplastik.
MENARIK DIBACA: "Orang India tak boleh makan" - Netizen harmoni selesai 'isu' bubur lambuk, siap 'offer' tolong masak
MENARIK DIBACA: Pengalaman aneh beli bubur candil... Peniaga 'kreatif' olah resipi, guna isi makaroni
Jika diaplikasikan di peringkat global, teknologi itu berpotensi mengurangkan krisis pencemaran plastik dunia lebih daripada 40 peratus dalam tempoh satu dekad.
Inovasi mesra alam itu berpotensi menggantikan berbilion tan sisa plastik yang kini menyumbat lautan dan tapak pelupusan.
Salah sebuah Kilang di Sichuan dan Guangdong, China turut memulakan pengeluaran percubaan untuk pembungkusan, cawan dan peralatan makan menggunakan inovasi berkenaan.

Di Malaysia, inisiatif seperti itu amat relevan kerana negara sedang berusaha mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dan mempromosikan gaya hidup lebih hijau.
Jika bioplastik dari buluh dapat diadaptasi, ia berpotensi menjadi penyelesaian kepada isu sampah plastik tempatan.
Selain itu, penggunaan buluh mudah diperbaharui juga boleh membuka peluang ekonomi baharu terutamanya untuk usahawan tempatan berminat dalam sektor hijau dan lestari.
Dengan teknologi sebegini, diharapkan masyarakat Malaysia dapat menikmati kehidupan seharian yang lebih bersih dan lestari sambil memberi peluang kepada generasi akan datang untuk hidup dalam persekitaran lebih sihat.
