Coklat tiramisu badam jenama Beryl’s habis stok, penangan Hwasa buat reviu spontan puji sedap
PENGARUH selebriti dalam mempromosikan sesuatu produk sememangnya bukan perkara baharu, malah sering menjadi strategi pemasaran yang berkesan.
Namun, lain pula ceritanya apabila promosi itu berlaku secara spontan tanpa bayaran sehingga meninggalkan kesan positif terhadap jenama berkenaan.
Itulah terjadi apabila penyanyi Korea Selatan, Hwasa mencuri perhatian ramai selepas berkongsi tentang coklat kegemarannya dari Malaysia.
Perkongsian dibuat oleh anggota kumpulan Mamamoo itu segera tular di media sosial, khususnya dalam kalangan peminat tempatan.

Hwasa mendedahkan bahawa dia sangat menggemari coklat tiramisu badam, Tiramisu Almond Chocolate keluaran Beryl’s.
Dalam satu hantaran video, penyanyi terkenal dengan aksi persembahan pentas ‘berapi’ itu menikmati coklat berkenaan sambil memuji rasanya unik dan ‘sedap lain macam’.
MENARIK DIBACA: Cubaan ikut resipi Khairul Aming tak menjadi, biskut raya dah rupa macam ‘Casper’... Yang penting guna butter Lurpak!
MENARIK DIBACA: Pengunjung Jalan TAR terkedu tengok 2 wanita Muslim warga asing makan secara terbuka, beri alasan uzur
Hwasa difahamkan membeli beberapa kotak coklat berkenaan untuk diri sendiri dan dihadiahkan kepada rakan-rakan ketika berkunjung ke Malaysia untuk konsert K-Spark pada Januari lalu.
Dalam masa singkat, nama Beryl’s kembali menjadi sebutan hangat di media sosial dan pengikutnya dari Malaysia meluahkan rasa bangga kerana coklat tempatan berjaya menambat selera artis K-pop terkenal.

Lebih mengejutkan, difahamkan variasi Tiramisu Almond Chocolate keluaran Beryl’s itu habis dijual di beberapa lokasi dalam tempoh singkat. Ada pembeli yang sanggup mencari dari satu kedai ke kedai lain demi merasai sendiri coklat yang dipuji penyanyi berkenaan.
Malah, jenama coklat itu sendiri turut terkejut dengan fenomena berkenaan sebelum tampil membuat satu hantaran khas di media sosial sebagai tanda penghargaan meluahkan rasa teruja apabila produk mereka menjadi pilihan penyanyi antarabangsa itu.
Reaksi jujur tanpa skrip itu membuatkan ramai teruja, lebih-lebih lagi apabila produk tempatan mendapat perhatian bintang antarabangsa.
Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman masing-masing mencuba coklat tersebut, malah ada mengakui baru pertama kali mendengarnya selepas perkongsian Hwasa menjadi tular.
