Lemang kelamai cuma ada di Perak, 3 hari buat baru siap! Ketahui sejarah, keistimewaannya
PERNAH dengar tentang lemang kelamai?
Tak dinafikan nama sajian ini sememangnya asing bagi kebanyakan orang terutama dari luar negeri Perak.
Bagi masyarakat tempatan terutama di daerah Gopeng, lemang kelamai merupakan antara juadah istimewa yang dihidangkan ketika hari raya.
Sajian ini merupakan makanan tradisi masyarakat Rao atau Rawa yang mana bentuknya kelihatan mirip seperti dodol kerana menggunakan bahan seperti tepung pulut, gula merah, santan, kerisik, tahi minyak dan gula putih.
Proses membuatnya pula seakan-akan lemang kerana dibakar di dalam buluh.
Proses menghasilkan lemang kelamai juga agak rumit kerana mengambil masa sehingga tiga hari disebabkan bahan-bahan perlu dibiarkan diserap terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dibakar.

Memetik laporan orangperak.com, lemang kelamai berasal dari penghijrahan beramai-ramai suku kaum Rao dari Indonesia ke Tanah Melayu semasa Perang Padri antara tahun 1816 hingga 1833 ketika zaman penjajahan Belanda.
Sebahagian besar daripada kaum Rao itu sendiri terdiri daripada golongan istana, para ulama, cedekiawan dan panglima yang lalu di Sungai Perak, Sungai Bidor dan Sungai Bernam menuju ke Teluk Intan, Kuala Kangsar, Larut, Kinta, Gopeng, Tapah dan Kampar.
Disebabkan tidak mahu melupakan adat tradisi masyarakat Melayu Rao, penduduk di Kampung Sungai Itek, Gunung Mesah dan kawasan sekitar Gopeng, terus menyediakan lemang kelamai supaya tidak terus ditelan zaman.
MENARIK DIBACA: Azizul Ammar tak cerewet bab makan, sardin dan telur kicap pun dah cukup!
MENARIK DIBACA: Semua sedap, takkan nak tengok je! Ini 7 tip pemakanan masa raya sambil 'jaga perut'
Antara ciri-ciri lemang kelamai adalah:-
1. Berwarna coklat kehitaman dengan tekstur kenyal seperti dodol.
2. Boleh disimpan lama sehingga tiga bulan jika dimasak dan disimpan dengan betul.
3. Lemang kelamai dianggap sebagai simbol status bagi sesebuah rumah bagi masyarakat Rawa kerana proses penyediannya yang rumit dan memerlukan kesabaran tinggi.
4. Harganya lebih mahal berbanding lemang biasa antara RM27 hingga RM35 sebatang bergantung kepada saiz.