Marjerin pernah dianggap 'musuh' mentega sampai dilarang jual! Wajib warna 'pink', bukan kuning
MARJERIN antara bahan sering digunakan dalam masakan dan pembuatan kek kerana harganya lebih murah berbanding mentega (butter).
Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui bahawa bahan itu pernah mencetuskan kontroversi sehingga diharamkan di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) seperti Wisconsin, Minnesota, Michigan dan New Hampshire suatu ketika dahulu.
Perkongsian seorang lelaki dikenali sebagai Luqman Z di media sosial mengupas sejarah marjerin yang pernah diharamkan penjualannnya dan dikenakan pelbagai sekatan kerana dituduh cuba 'menyerupai' mentega.
Menurutnya, suatu ketika dahulu, penjualan marjerin di beberapa negeri di AS boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.

"Malah, terdapat undang-undang mewajibkan marjerin diwarnakan merah jambu supaya tidak kelihatan seperti mentega dan nampak tak menyelerakan.
"Marjerin direka untuk 'menyamar' sebagai mentega. Warna asalnya putih pucat. Kilang warnakan kuning supaya nampak macam mentega," kongsinya.
Tambah individu itu lagi, sebelum marjerin diperkenalkan masyarakat beribu-ribu tahun lalu menggunakan pelbagai jenis lemak semula jadi dalam masakan.
MENARIK DIBACA: "Busy mana pun jangan tinggal solat" - 'Abang matcha' tular, dipuji utamakan ibadat dalam bisnes
MENARIK DIBACA: Kerajaan diminta kaji cadangan restoran beri air kosong percuma, galak rakyat amal pemakanan sihat
Antaranya penggunaan mentega daripada susu, minyak sapi atau mentega dijernihkan, terutama dalam masakan India dan Timur Tengah dan minyak zaitun di rantau Mediterranean.
"Semua lemak itu dihasilkan menggunakan kaedah lebih ringkas daripada sumber dikenali, berbeza dengan marjerin dicipta di Perancis pada 1869 sebagai alternatif mentega lebih murah.
"Marjerin dari awal memang produk tiruan," jelasnya.
Bagaimanapun, lelaki itu berkata marjerin dijual hari ini tidak sama seperti formulasi terdahulu selepas pelbagai kajian membuktikan tentang bahaya lemak trans terhadap kesihatan.
"Selepas bahaya lemak trans terbukti, banyak negara haramkan minyak terhidrogenasi. Marjerin moden diformulasi semula dan kebanyakannya tiada lagi lemak trans.

"Jadi marjerin moden tak sama dengan lama. Tapi pengajaran sebenar bukan marjerin 'lawan' mentega sebaliknya tentang lemak diproses berat 'lawan' lemak semula jadi nenek moyang kita guna," katanya.
Lelaki itu turut berpandangan bahawa bagi kegunaan harian, lemak tradisional yang melalui pemprosesan minimum masih boleh dijadikan pilihan kerana lebih hampir kepada sumber asalnya.
"Untuk memasak harian, lemak tradisional kurang diproses masih pilihan masuk akal. Minyak sapi dan mentega dijernihkan digunakan ribuan tahun. Tahan haba tinggi untuk menggoreng, tak mudah hangus dan tahan lama.
"Bukan sebab ia ubat ajaib. Sebab ia lemak sebenar diproses minimum, macam orang dulu guna," katanya.
Kesimpulannya pengharaman dan sekatan ketat terhadap marjerin pada zaman dahulu dibuat bagi melindungi industri mentega dan tenusu, bukan atas sebab kesihatan.
Hanya beberapa dekad kemudian, penyelidikan mendapati banyak marjerin lama mengandungi lemak trans yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung sekali gus membawa kepada perubahan formulasi marjerin moden.
Marjerin kini kebanyakannya menggunakan minyak sayuran dan mengandungi sedikit atau tiada lemak trans.