Pertandingan kek buruk asah kreativiti kanak-kanak! Juri perlu rasa geli, loya tekak
APABILA bercakap tentang pertandingan menghias kek, anda pasti membayangkan kek dihiasi lapisan krim kemas, ukiran fondant mempesonakan serta perincian bunga-bungaan dengan gubahan indah untuk memikat hati juri.
Berbeza dengan pertandingan menghias kek di Iowa State Fair di Iowa, Amerika Syarikat (AS), peserta dikehendaki menghasilkan kek dengan hiasan paling buruk, menggelikan dan mampu membuatkan tekak juri berasa mual.
Menurut penganjur, pertandingan dikenali sebagai Bret & Amy Doerring Ugliest Cake Contest itu mahu membuktikan bahawa kreativiti tidak semestinya datang dalam bentuk keindahan, tetapi juga boleh dizahirkan melalui satu karya seni yang menjijikkan.

Menariknya, peserta dalam acara tersebut terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang terbahagi keapda dua kategori iaitu tujuh hingga 11 tahun dan kategori 12 hingga 17 tahun yang berujuan untuk membentuk imaginasi mereka.
Walaupun matlamat pertandingan adalah untuk mencari kek paling buruk, proses penghasilannya memerlukan kemahiran seni yang tinggi apabila peserta perlu memikirkan cara untuk menghasilkan bahan-bahan bakeri dengan meniru tekstur objek kotor di dunia nyata.
Meskipun rupa luaran kek yang dipertandingkan kelihatan seperti sisa sampah atau bangkai, penganjur menetapkan peraturan yang sangat ketat.
MENARIK DIBACA: Krim lemon berlemak, nikmat dimakan sejuk! Cuma guna 3 bahan, tak perlu bakar
MENARIK DIBACA: Evertts Gomes suka masuk dapur sejak kecil, intai rahsia masakan ibu - "Selalu juga kena marah, dihalau"
Semua bahan dekorasi yang digunakan mestilah 100 peratus boleh dimakan (edible) dan peserta tidak dibenarkan menggunakan plastik, mainan atau bahan bukan makanan untuk meniru objek buruk.
Sebagai contoh, jika peserta mahu membuat replika pepijat atau ulat, mereka harus membentuknya menggunakan coklat, fondant atau gula-gula.
Malah, senarai ramuan lengkap wajib diserahkan bagi membuktikan kek tersebut selamat jika dimakan.

Menurut salah seorang penaja utama acara ini, Amy Doerring, kriteria pemarkahan bukan sahaja dinilai pada fizikal semata-mata, tetapi apa yang paling penting ialah kisah di sebalik rekaan.
Gabungan antara visual yang buruk dan jalan cerita yang kreatif akan memberikan impak psikologi yang lebih mendalam kepada para juri.
Kek yang berjaya mencetuskan rasa geli yang tinggi melalui konsepnya mendapat markah bonus yang besar.
Kreativiti para peserta ternayata di luar jangkaan dan berjaya membuatkan penonton serta juri berasa geli.

Untuk edisi tahun ini, lebih daripada 100 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan pada 14 September lalu.
Antara karya unik yang dipertandingkan adalah kek muntah, najis anjing, raksasa, mulut perokok dan ulat beluncas.
Pemenang bagi kategori usia tujuh hingga 11 tahun dimenangi kek beluncas hijau, manakala kategori 12 hingga 17 tahun pula dimenangi kek yang dihasilkan menyerupai raksasa hodoh berwarna biru.
Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$500 (RM2,041).