Betul ke mengumpat di meja makan, tenaga negatif masuk dalam minuman?
ORANG tua-tua selalu berpesan agar tidak bercakap perkara buruk di hadapan rezeki atau lebih tepat lagi di depan makanan dan minuman.
Rupanya, nasihat itu dikatakan ada kaitan dengan sifat air yang didakwa mampu menyerap tenaga positif dan negatif dari persekitaran sekeliling.
Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna Threads dikenali sebagai Zhaif Nasrullah yang mendakwa segala percakapan manusia boleh 'ditangkap' dan 'dirakam' oleh molekul air.
Menurutnya, sekiranya seseorang bercakap perkara negatif sebelum minum, dia dikhuatiri 'menelan' segala perkara buruk yang diperkatakan.

"“Jangan minum air yang ada depan kau lepas cakap buruk tentang orang atau diri sendiri, gosip atau mencarut.
“Dalam sains, prinsip asas air ialah ia menyerap getaran. Segala yang dituturkan di sekeliling air akan 'ditangkap' dan 'direkod' melalui proses getaran tersebut,” tulisnya.
Perkongsian Zhaif itu dipercayai merujuk kepada kajian oleh penulis Jepun, Dr Masaru Emoto menerusi bukunya The Hidden Messages in Water yang diterbitkan pada 2004.
Dalam masa sama, dia turut mengingatkan orang ramai tentang adab dalam percakapan ketika berada di meja makan bagi mengelakkan tenaga negatif memasuki tubuh.
“Lain kali kalau kau nak makan dan ada segelas air di depan kau, perhatikan apa yang diperkatakan di meja itu.
MENARIK DIBACA: Minum air sejuk ketika musim panas punca salur darah pecah... Fakta atau mitos?
MENARIK DIBACA: 7 manfaat minum air rendaman kurma, paling sesuai amal bulan Ramadan
“Sebab kau bukan sekadar berbual, tapi kau sedang menentukan jenis ‘tenaga’ yang masuk ke dalam badan kau.
“Sebab itu juga, keluarga paling kaya di dunia menjaga adab di meja makan lebih daripada mereka menjaga akaun bank mereka,” jelasnya.
Perkongsian itu mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju, malah mengaitkannya dengan nasihat orang lama.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang mempertikaikan kesahihan dakwaan tersebut, khususnya dari sudut saintifik.
Menurut seorang netizen, walaupun air sememangnya bertindak balas terhadap perubahan fizikal seperti suhu, tidak bermaksud ia mampu menyerap emosi atau tenaga negatif seperti didakwa.

“Dalam sains, air menyerap getaran itu betul. Sebab itu ia boleh membeku bila sejuk, mendidih bila dipanaskan dan tersejat.
“Tapi untuk konsep air menyerap emosi, setakat ini tiada bukti saintifik yang kukuh. Boleh nyatakan sumber?” komen netizen tersebut.
Malah, ada juga yang mengingatkan agar tidak tersalah faham hingga menyentuh soal akidah.
“Hati-hati, jangan sampai mensyirikkan Allah SWT. Air tiada kuasa menentukan nasib seseorang, semuanya berlaku dengan izin-Nya,” komen seorang lagi netizen.