Takoyaki ori di rumah influencer Jepun jadi perhatian, 'lari' versi Malaysia! Proses 'pusing tepung' pun lain
SERONOK melihat dunia kulinari tempatan yang semakin meriah dengan kehadiran pempengaruh dari pelbagai negara, masing-masing berkongsi keunikan budaya makanan dari tanah air mereka.
Seperti pempengaruh berdarah Jepun, Anna Farhana, atau nama asalnya Anna Tanaka, dia mencuri perhatian netizen gara-gara menu yang dihidangkan di rumah terbuka.
Menerusi perkongsian ringkas di Threads, Anna berkongsi detik istimewa apabila akhirnya mengadakan rumah terbuka pertamanya dengan menyajikan takoyaki.
"Tinggal di Malaysia tahun ke-7, 'first time' buat rumah terbuka. So buat tako ori," kongsinya ringkas.

Menerusi perkongsian video itu, Anna dilihat sibuk menyediakan takoyaki untuk dijamu kepada tetamu sekali gus menarik minat ramai kerana memperkenalkan cara sebenar penyediaan makanan autentik dari Jepun itu.
MENARIK DIBACA: Wanita serik makan belangkas, ramai tampil kongsi pengalaman hitam serupa
MENARIK DIBACA: Wanita tukar susu badan jadi serbuk, sangat memudahkan urusan - "Keputusan terbaik pernah saya buat"
Menerusi ruangan komen, katanya, tujuan dia menghidangkan takoyaki asli adalah untuk memberikan pengalaman rasa sebenar kepada kenalan di Malaysia yang mungkin hanya mengenali versi tempatan hidangan tersebut.
Anna turut menjelaskan bahawa takoyaki di Jepun sebenarnya berbeza berbanding versi biasa dijual di Malaysia.

Katanya, penggunaan sotong tako sebenar, jenis sos, serta teknik memasak adalah berbeza dan lebih teliti, termasuk proses 'pusingan tepung' semasa memasak dilakukan beberapa kali untuk mendapatkan tekstur sempurna.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan usahanya mengekalkan keaslian makanan Jepun walaupun sudah lama menetap di Malaysia.

Malah, ada mengakui teruja dan teringin untuk merasai takoyaki sebenar dari Jepun, bukan sekadar versi biasa di sini dengan variasi seperti bebola ikan atau sosej.
"Pernah nampak ramai jual tako kat Malaysia tapi masih tak masak macam tako Japanese 'usually' buat tako akan pusing 2/3 kali 'halfway' tambah lagi tepung. 'I've been to Japan' dengan family sangat minat tengok orang Jepun buat.
"Once I try to make this Jepan Takoyaki..Tak jadi sangat I just put sausage and crab..hahah.
"Teringin nak rasa takoyaki sebenar. Bukan yang takoyaki tapi isi fishball fiskcake," antara komen netizen.