30 tahun di Malaysia, lelaki ini buka gerai roti canai lepas balik Indonesia! Roti sarang burung, martabak pun ada
MEMANG tidak dinafikan selain nasi lemak, roti canai juga menjadi antara hidangan popular di Malaysia dan digemari ramai termasuklah warga asing.
Hidangan yang biasanya dijadikan sarapan pagi itu diperbuat daripada doh tepung gandum dan ditebar nipis sebelum dilipat dan digoreng di atas kuali.
Di Malaysia, roti canai bukan lagi menjadi menu asing bahkan ia mudah ditemui di merata-rata tempat terutama di restoran mamak.
Bagaimanapun di Indonesia, roti canai dianggap makanan unik, lebih-lebih lagi jika diperkenalkan oleh warga tempatan.

Seorang lelaki warga Indonesia berasal dari Medan menjadi perhatian apabila menjadikan roti canai sebagai sumber rezeki dengan membuka warung kecil dinamakan Bunda Ana di negeri kelahirannya.
Menerusi perkongsian pemilik Instagram abicarimakan, dia berkongsi pengalaman menikmati hidangan roti canai di sebuah gerai yang diusahakan lelaki tersebut, berkat pengalaman merantau selama 30 tahun ke Malaysia.
Dalam hantaran tersebut, pemilik video diberitahu oleh penjual bahawa dia mendapat idea untuk menjual roti canai kerana pengalamannya bekerja di Kuala Lumpur selama tiga dekad.
MENARIK DIBACA: Sama tapi tak serupa, warna cili benggala berbeza rasa dan tekstur
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi air soda laici, rasa pedas manis menyegarkan tekak
"Saya belajar buat roti canai kerana pernah menetap di Malaysia selama 30 tahun.
"Bila dah pandai (buat roti canai), saya pulang ke Medan, saya cuba buat roti canai yang pernah dipelajari di Malaysia," ujarnya.
Kata penjual itu lagi, dia tidak menyangka roti canai yang diusahakan digemari ramai penduduk tempatan, malah mereka memberikan sokongan terhadap perniagaan kecilnya.
"Ramai yang menyokong jualan roti canai saya, malah mereka memuji roti canai yang saya buat untuk dijadikan sarapan pagi.
"Memang saya buat roti canai mirip seperti yang ada di Malaysia, termasuk kuahnya iaitu dal dan sambal ikan bilis," kata penjual itu lagi.

Selain roti canai, lelaki itu turut menyediakan hidangan lain seperti roti sarang burung dan martabak telur.
Pemilik video ketika mencuba roti canai tersebut mengakui rasa dan keenakannya sama seperti roti canai yang dijual di Malaysia terutama kuah dal yang dihidangkan.
"Kuah dalnya sama seperti di Malaysia.
"Martabak telurnya juga enak," kongsinya.
Hantaran tersebut dibanjiri komen netizen yang rata-rata memuji penjual tersebut bijak mencari peluang untuk berniaga.
Memang saya buat roti canai mirip seperti yang ada di Malaysia.
penjual rori canai
Malah, tidak kurang juga yang berkongsi rasa senang apabila kedua-dua negara saling berkongsi cita rasa makanan masing-masing.
"Malaysia sekarang suka ayam gepuk, Indonesia pula roti canai. Memang mantap!
"Terbaik bang! Tak salah pun guna ilmu yang ada untuk mencari rezeki di tanah air sendiri. Dalam keadaan ekonomi sekarang, gunalah segala kepandaian demi kelangsungan hidup," demikian antara komen netizen.