Wanita cuak rosakkan 'chopper' mak mentua, mujur ada 'hero' muncul jadi penyelamat
MEROSAKKAN barang milik ibu mentua mungkin antara perkara paling mendebarkan bagi seorang menantu, apatah lagi jika barang berkenaan memiliki nilai sentimental tersendiri selain sering digunakan.
Itulah situasi yang dialami seorang wanita apabila dia secara tidak sengaja merosakkan 'chopper' milik ibu mentuanya (MIL).
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu mengakui jantungnya hampir gugur selepas menyedari tali 'chopper' milik mentua tiba-tiba terputus sehingga alat untuk mengisar bahan masakan secara manual itu rosak.
Lebih membuatkan dia panik, 'chopper' tersebut merupakan produk jenama popular, menyebabkan dia terus memikirkan cara untuk menggantikannya.

"Sumpah jantung nak gugur bila kau dah rosakkan 'something' dekat rumah mentua kau.
"Kau nak tahu tak apa aku dah buat hari ini? Aku terputuskan tali 'chopper' mentua aku. Weh, masalah besar, 'brand' Tupperware ya guys. Tolong," katanya.
Tanpa berfikir panjang, dia terus membuat pesanan secara dalam talian untuk mendapatkan 'chopper' baharu sebagai ganti kepada barang yang rosak itu.
Menurutnya, tindakan tersebut dibuat semata-mata kerana mahu menggantikan semula barang milik ibu mentuanya dan mengelak timbulnya masalah lebih besar.
Bagaimanapun, kisah tersebut bertukar menjadi lucu apabila dia mengadu kepada adik iparnya mengenai apa yang berlaku.
MENARIK DIBACA: Roti canai antara 50 sarapan terbaik di dunia, kalahkan bubur ayam dan nasi goreng Indonesia
MENARIK DIBACA: Sampai ralit menyedut sumsum dibuatnya, ini lokasi rahsia di KL jual sup tulang merah Singapura
Tanpa disangka bapa mentuanya terdengar perbualan mereka sekali gus membuatkan dia turut menyangka bakal dimarahi lelaki itu.
Bagaimanapun apa yang berlaku selepas itu ternyata jauh berbeza daripada sangkaannya apabila bapa mentua bertindak seperti seorang ahli pertukangan dan berjaya membaiki 'chopper' yang telah rosak itu.
"Dia ambil terus betulkan 'natang' (chopper) tu. Guess what, terus elok balik," katanya yang berasa lega dan terhibur.

Di ruangan komen, ramai pengikutnya turut terhibur dengan kisah yang diceritakan, malah ada juga yang berkongsi pengalaman berdepan situasi hampir serupa.
"Bulan pertama kahwin aku dah rosakkan 'blender' mak mentua aku. Tak fasal-fasal dia pergi AEON beli 'blender' baharu pakai duit anak dia.
"Jangan risau sis, saya dah dua kali pecahkan pinggan mak mentua. Belum lagi barang-barang lain.
"Sayalah salah seorang yang selalu rosakkan 'blender' mentua tiap-tiap kali raya. Risau nak 'blend' bahan masak. Tapi Alhamdulillah mentua saya baik suruh baiki balik 'blender' tu," netizen berkongsi pengalaman masing-masing.