Terlekat tulang ikan, wanita kongsi bacaan disaran ustazah... Ramai tampil kongsi petua lain
MASALAH tulang ikan tersangkut di tekak bukanlah perkara asing, malah ramai dalam kalangan kita pasti pernah mengalaminya.
Apabila berdepan situasi itu, ada yang memilih untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital dan tidak kurang juga mencuba pelbagai petua.
Seorang lelaki di Threads meminta pandangan warganet selepas tulang ikan masih tersekat di tekaknya selepas empat hari.
Dia turut meminta pandangan orang ramai sama ada terdapat cara lain yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
Pertanyaannya itu mendapat pelbagai komen daripada netizen yang berkongsi pengalaman serta petua yang pernah diamalkan ketika berdepan situasi sama.
Seorang warga maya mendakwa sering berdepan insiden tercekik tulang dan pernah menerima petua daripada seorang ustazah.
"Saya selalu juga tercekik tulang ikan (sebab lupa baca doa makan haha) tapi ada ustazah bagi petua kat saya.

"Baca surah al-fiil. Part 'robbuka' tu niat 'biarlah yang membujur lalu yang melintang patah'.
"Tiup dalam air minum. Ulang beberapa kali, minum air tu selalu.
"Kadang saya buat sebotol tumbler dan sepanjang hari/malam minum bila terlekat tulang.
"InsyaAllah next day tu tak rasa tulang melekat. Cuma pedih tu akan hilang lama-lama," kongsi individu itu.
Beberapa netizen lain turut berkongsi cadangan lain seperti menggumpalkan nasi atau roti dan kemudian terus ditelan.
MENARIK DIBACA: Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
MENARIK DIBACA: Pekat, rasa 'terangkat'! Ini jenis ikan paling sedap dibuat kuah laksa, kembung paling popular
"Boleh juga gumpalkan nasi berbentuk bulat seperti 'meatball' dan telan terus, supaya tulang ikan melekat di dalam nasi. InsyaAllah petua bapa saya jika terjadi tercekik tulang ikan. Semoga Allah mudahkan urusan kita semua. Aamiin ya Rabb.
"Gumpal nasi dan gumpal roti. Cuba dua-dua ini 'confirm' menjadi tapi kalau besar sangat pergi emergency hospital kerajaan dia akan terus refer pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Nanti mereka masukkan scope kat hidung dan akan try pancing harap-harap berjaya keluarkan.
"Gumpal nasi putih telan tanpa kunyah
"Genggam nasi panas-panas, selawat kemudian telan. Insyaallah," komen warganet.
Lebih pelik, ada juga netizen yang berkongsi petua yang tidak pernah atau jarang didengar.
"Hari tu saya lekat tulang ikan, mentua suruh ambil senduk letak kat leher hala ke bawah sambil berselawat terus keluar tulang tu.
"Besar juga tulangnya, tapi kalau dah cuba tak boleh, pergi klinik," kongsinya.