Ramai sangka susu ibu lengkap nutrisi, doktor dedah rupanya rendah satu nutrien penting
SUSU ibu diakui sebagai makanan terbaik untuk bayi, namun satu fakta yang ramai ibu bapa mungkin tidak sedar ia mengandungi vitamin D yang rendah.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita di Threads, yang juga merupakan doktor perubatan dikenali sebagai Elizanurman.
Menurutnya, vitamin D bukan sekadar penting untuk kesihatan tulang seperti yang sering didengar, sebaliknya ia memainkan peranan lebih besar dalam perkembangan keseluruhan bayi.
"Vitamin D bukan sekadar untuk tulang. Ia juga penting untuk perkembangan tulang dan gigi, sistem imun, fungsi otot serta kualiti tidur yang lebih baik," jelasnya.

Lebih membimbangkan, kajian turut menunjukkan bahawa bayi yang mengalami kekurangan vitamin D berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan saluran pernafasan bawah atau 'lower respiratory tract infections'.
Situasi ini sekali gus membuatkan ramai ibu mula peka terhadap keperluan nutrisi tambahan walaupun bayi masih menyusu badan sepenuhnya.
Pasti anda tertanya-tanya macam mana nak bantu bayi dapatkan vitamin D mencukupi kan?
Menurut perkongsian tersebut, terdapat beberapa cara yang boleh membantu meningkatkan tahap vitamin D dalam badan bayi dan juga ibu:
MENARIK DIBACA: Risau ibadat tak sah, wanita bawa baldi ke pasar elak najis bahan basah - "Duit baki pun boleh kena darah"
MENARIK DIBACA: Kafe Jepun jual latte pada suhu paling ekstrem di dunia, kena habiskan dalam masa 40 saat sebelum beku
1. Pendedahan cahaya matahari yang cukup
Biasanya antara jam 9 pagi hingga 3 petang adalah masa terbaik untuk mendapatkan pendedahan cahaya namun perlu dilakukan secara berhati-hati mengikut kesesuaian dan nasihat pakar kesihatan.
2. Pemakanan ibu yang kaya vitamin D
Ibu-ibu sangat digalakkan mengambil makanan tinggi vitamin D.
Antaranya ikan berlemak seperti salmon dan sardin, telur serta cendawan.
3. Suplemen tambahan
Suplemen vitamin D mungkin diperlukan dalam situasi tertentu, namun ia perlu diambil berdasarkan kesesuaian dan saranan profesional kesihatan.
Boleh juga ambil suplemen vitamin D dalam bentuk 'drops' untuk kanak-kanak bawah satu tahun manakala 'cod liver oil' boleh diberikan kepada kanak-kanak berumur dua tahun ke atas.