Telur separuh masak, teh hijau 'sarapan ajaib' bantu individu nak cepat kurus
MASYARAKAT kita memang cukup sinonim dengan sarapan berat seperti roti canai, nasi lemak atau kuih-muih manis yang enak.
Bagaimanapun sarapan tinggi karbohidrat dan manis sebenarnya boleh menyebabkan paras gula dalam darah melonjak secara mendadak sebelum turun semula dengan cepat.
Sebab itulah ramai yang mengambil sarapan berat mudah rasa mengantuk, badan lemau dan cepat lapar semula.
Seorang pengguna media sosial berkongsi rutin sarapan ringkas yang didakwa membantu menurunkan berat badan selain membuatkan tubuh terasa lebih ringan dan bertenaga.

“Aku amalkan sarapan 'green tea' dengan telur separuh masak je untuk turunkan berat aku.
“Minum ni je aku tak rasa nak minum manis-manis, rasa kenyang sampai waktu 'lunch'. Tak adalah aku hadap makanan tak berfaedah,” kongsinya di laman Threads.
Sebenarnya sarapan telur separuh masak bersama teh hijau kini semakin popular dalam kalangan mereka yang mahu menjaga berat badan dan mengawal pemakanan harian.
Bagi yang tidak tahu, telur separuh masak mempunyai pelbagai manfaat kesihatan terutama jika diambil ketika sarapan.
MENARIK DIBACA: Masih tak terlambat nak belajar makan sihat... Ini senarai sayur 'mesra tekak' untuk 'beginner'
MENARIK DIBACA: Tembikai dan nanas banyak khasiat... Mana satu lebih baik untuk pesakit diabetes?
Telur kaya dengan protein berkualiti tinggi yang membantu memberikan rasa kenyang lebih lama sekali gus mengurangkan keinginan untuk mengunyah makanan ringan atau minuman manis.
Selain itu, kandungan protein dalam telur juga penting untuk membantu pembinaan otot dan memberi tenaga kepada tubuh bagi memulakan hari.
Manakala teh hijau pula terkenal sebagai minuman kaya dengan antioksidan terutama 'catechin' yang membantu meningkatkan metabolisme badan.

Teh hijau juga sering dikaitkan dengan proses pembakaran lemak selain membantu mengurangkan keinginan mengambil minuman bergula.
Ramai memilih minum teh hijau tanpa gula kerana rasanya yang lebih ringan dan menyegarkan, selain membantu tubuh kekal terhidrat pada waktu pagi.
Gabungan telur separuh masak dan teh hijau juga dianggap lebih ‘bersih’ kerana rendah kalori tetapi masih memberikan rasa kenyang yang memuaskan.