Asyik 'kejar' makanan viral sampai kena kanser kolon, pakar nutrisi kongsi amalan pemakanan 'reset' usus
KEWUJUDAN pelbagai makanan viral beraneka rupa dan warna sememangnya menggoda selera.
Bagaimanapun, kebanyakannya tinggi lemak, gula, garam dan ada yang diperbuat daripada makanan diproses ultra (UPF).
Jika makanan sedemikian diambil terlalu kerap, ia boleh meningkatkan risiko penyakit kronik, termasuk kanser usus yang kini semakin banyak dikesan dalam kalangan golongan muda.
Kanser usus atau kanser kolon ialah penyakit yang berlaku apabila sel abnormal tumbuh secara tidak terkawal pada usus besar atau rektum.

Antara simptom yang sering dikaitkan dengan penyakit ini ialah perubahan tabiat membuang air besar, najis berdarah, sakit perut berpanjangan, penurunan berat badan tanpa sebab dan keletihan melampau.
Walaupun terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penyakit ini seperti genetik, umur dan gaya hidup, menjaga kesihatan usus melalui pemakanan dapat membantu mengurangkan risiko.
Menurut perkongsian pakar nutrisi, @kimoppa.nutritionist, terdapat beberapa amalan mudah bagi membantu 'reset' usus dan mengekalkan sistem penghadaman yang lebih sihat.
MENARIK DIBACA: Berpada-pada makan steamboat dan grill, awas risiko kanser usus
MENARIK DIBACA: Kubis goreng memang buat ketagih, tapi awas boleh jadi penyebab kanser usus
1. Makanan pedas
Bagi mereka yang sering mengalami gastrik, pedih ulu hati atau kerap kembung perut, cuba kurangkan makanan pedas secara berperingkat.
"Nasihat saya bukan berhenti terus, tapi kurangkan sikit demi sikit sebab ia boleh jejaskan kehidupan seharian," katanya.
2. Makanan diproses
Makanan diproses seperti bebola ikan, bebola daging dan produk seumpamanya selalunya mengandungi bahan tambahan, garam serta pengawet yang tinggi.
Jika menikmati hidangan seperti malatang atau bufet, utamakan makanan sebenar (real food) seperti daging segar, ayam, makanan laut dan sayur-sayuran berbanding makanan diproses.
3. Tinggi probiotik
Probiotik membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, sekali gus menyokong sistem penghadaman yang sihat.
Sekiranya tidak mahu mengambil makanan tambahan, anda masih boleh mendapatkan probiotik daripada makanan seperti kefir, yogurt, tempe dan kimchi.

4. Serat dan minum air secukupnya
Serat memainkan peranan penting dalam melancarkan pergerakan usus dan membantu proses pembuangan najis.
Selain sayur-sayuran dan buah-buahan, chia seed juga merupakan sumber serat yang baik untuk dimasukkan dalam diet harian.
Pada masa sama, pastikan tubuh mendapat air yang mencukupi kerana ia membantu melembutkan najis, mengelakkan sembelit dan menyokong proses penghadaman.
5. Jangan terus baring selepas makan
Selepas selesai makan, elakkan terus berbaring atau duduk terlalu lama.
Sebaliknya, lakukan aktiviti ringan seperti berjalan selama kira-kira lima minit bagi membantu merangsang pergerakan usus dan mempercepatkan proses penghadaman.
"Berjalan dalam lima minit pun cukup dah untuk gerakkan usus jadi lebih mudah memproses makanan," katanya.