Sapu kunyit di muka, tidur bertemankan bawang petua sembuhkan selesema
SETIAP penyakit pasti ada penawarnya, sama ada melalui rawatan moden mahupun petua tradisional yang diwarisi turun-temurun.
Begitulah perkongsian seorang pengguna Threads dikenali sebagai Fateen Najehan yang mendedahkan petua arwah neneknya untuk membantu melegakan selesema yang dialami anaknya.
Menurutnya, petua tersebut cukup mudah iaitu melumurkan kunyit pada bahagian wajah serta meletakkan bawang merah yang dipotong kecil berhampiran tempat tidur.
"Tak apalah sarung bantal aku kuning pun asalkan esok pagi anak aku bangun hidung berhingus tu kering.

"Mujur arwah nenek aku turunkan petua ni siap-siap. Al-Fatihah buat Hajah Meriam," tulisnya.
Tambah Fateen, walaupun kaedah itu mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah orang, ia sudah diamalkan sejak bertahun-tahun dan ternyata serasi dengan keluarganya.
"Alhamdulillah serasi juga dengan anak-anak saya. Esok pagi kena buka semua tingkap bagi hilang bau bawang," katanya lagi.
Perkongsiannya turut disertakan dengan sekeping gambar memperlihatkan anaknya sedang tidur dengan wajah yang disapu kunyit, sekali gus menarik perhatian ramai warga maya.
MENARIK DIBACA: Batuk tak baik-baik, siap gatal tekak... Cuba petua minum air sarsi dengan aiskrim
MENARIK DIBACA: Air campuran 3 bahan ini legakan masalah batuk, siap bantu cairkan kahak
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen mengakui mereka juga mengamalkan petua sama dan mendakwa ia membantu mengurangkan simptom selesema.
"Petua tidur dengan bawang tu pun saya amalkan kalau batuk atau tak sihat. Alhamdulillah, izin Allah keluarga saya serasi. Cuma kena reda bilik bau bawang.
"Saya pun guna petua ni untuk anak. Memang mujarab," komen beberapa netizen.
Meskipun tiada bukti saintifik kukuh mengakui kunyit dan bawang mampu merawat selesema, kedua-dua bahan semula jadi ini dipercayai mempunyai sebatian yang boleh membantu melegakan simptom tertentu.
Kunyit mengandungi sebatian aktif dikenali sebagai kurkumin, yang mempunyai sifat anti-radang dan antioksidan.

Sifat ini dipercayai dapat membantu mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada individu yang mengalami hidung tersumbat atau ketidakselesaan akibat selesema.
Bawang merah pula mengandungi sebatian sulfur serta antioksidan seperti quercetin yang mempunyai ciri antiradang.
Walaupun ada yang percaya aromanya membantu melonggarkan saluran pernafasan atau mengurangkan hidung tersumbat, setakat ini tiada kajian membuktikan dengan meletakkan bawang berhampiran katil boleh merawat selesema.
Sebaliknya, bau bawang yang kuat mungkin sekadar memberikan rasa lebih lega kepada sesetengah individu.
Sekiranya anak mengalami selesema berlarutan, disertai demam dan sesak nafas, ibu bapa disarankan untuk dapatkan pemeriksaan doktor bagi memastikan keadaan tidak menjadi teruk.