Rupanya ada cerita kenapa nanas banyak 'mata', dijual tanpa potong tangkai
RAMAI sangka semua buah boleh dipetik begitu saja dari pokok sebelum dimakan atau dibiarkan masak sendiri (jika masih muda).
Ada buah yang kalau salah petik, bukan sahaja menjejaskan kemanisannya, tapi akan cepat rosak walaupun dari luar masih nampak elok.
Buah tersebut ialah nanas!
Uniknya, buah tropika yang satu ini tak boleh dipetik atau terus ditarik seperti buah lain.

Sebaliknya, ia perlu dipotong menggunakan pisau tajam bersama bahagian tangkainya bagi memastikan isinya kekal segar dan tahan lebih lama.
Kebanyakan buah yang dipetik ketika separuh masak masih boleh terus matang sendiri kerana ia menghasilkan gas etilena secara semula jadi yang membantu buah menjadi lebih manis dan lembut selepas dituai.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak berlaku pada nanas.
Nanas tergolong dalam buah bukan klimakterik, bermaksud hampir tidak menghasilkan gas etilena selepas dipotong dari pokok.
MENARIK DIBACA: Tembikai dan nanas banyak khasiat... Mana satu lebih baik untuk pesakit diabetes?
MENARIK DIBACA: Nanas banyak khasiat, betul ke jika ibu hamil makan akan keguguran?
Sebab itu, kemanisan isi nanas akan kekal pada tahap ketika ia dipetik.
Kalau buah itu dipetik terlalu awal, isinya akan kekal masam dan kurang manis walaupun disimpan lama.
Lebih teruk, jika nanas ditarik secara paksa dari pokok, tangkainya boleh patah di bahagian tengah lalu meninggalkan ruang terbuka yang membolehkan udara dan bakteria masuk ke dalam buah.
Akibatnya, isi nanas akan cepat berair, lembik dan busuk dalam masa beberapa hari walaupun kulit luar masih nampak cantik.

Disebabkan itu, kebanyakan penanam nanas menggunakan pisau untuk memotong terus bahagian tangkai yang tebal supaya buah kekal berkualiti sebelum dijual.
Menariknya lagi, nanas yang kita makan sebenarnya bukan sebiji buah tunggal.
Ia merupakan gabungan ratusan buah kecil yang bercantum menjadi satu bentuk besar seperti yang kita lihat hari ini.
Sebab itu permukaan nanas mempunyai corak 'mata' yang banyak kerana setiap satu 'mata' sebenarnya berasal daripada bunga kecil yang bercantum semasa proses pembentukan buah.