Bukan sekadar baja, kulit telur boleh jadi skrub muka dan sumber kalsium kuatkan tulang
MEMANG jarang kita akan menyimpan kulit telur kerana merasakan ia tidak mempunyai sebarang kegunaan dan tidak bernilai.
Sebenarnya kulit telur juga mempunyai pelbagai manfaat bukan sahaja kepada alam tetapi kesihatan manusia.
Jadi selepas ini sebelum terus mencampakkan kulit telur dalam tong sampah, apa kata asingkan dalam bekas berbeza kerana ia ada kegunaan.
Berikut lima manfaat kulit telur yang boleh diolah.

1. Sumber kalsium semula jadi
Kulit telur mengandungi kalsium karbonat sehingga 95 peratus nutrien penting untuk menguatkan tulang dan gigi.
MENARIK DIBACA: Rajin-rajin makan bayam dan ubi keledek, mampu atasi masalah rambut gugur
MENARIK DIBACA: Ada beza cendol Malaysia dan Thailand, campuran air kelapa muda beri kelainan
Kulit telur sebenarnya boleh dikeringkan dan dikisar halus menjadi serbuk dan ditambah ke dalam makanan atau suplemen untuk membantu memenuhi keperluan kalsium harian.

2. Baja organik tanaman
Hancurkan kulit telur dan taburkan di tanah atau campurkan dengan kompos.
Kandungan kalsium di dalamnya membantu menguatkan pertumbuhan tanaman, mencegah daun menjadi kuning serta meningkatkan kesuburan tanah.

3. Penghalau serangga dan rumput liat
Potongan kulit telur yang ditabur di sekitar tanaman boleh membantu menjauhkan siput dan beberapa jenis serangga yang merosakkan tanaman.
Selain itu, kulit telur juga boleh mengurangkan pertumbuhan rumput liar di Kawasan kebun.

4. Bahan skrub kulit
Kulit telur yang dikisar halus boleh dicampurkan dengan madu atau yogurt sebagai skrub semula jadi.
Hasilnya ia membantu menanggalkan sel kulit mati malah menjadikan kulit lebih halus dan berseri.

5. Pembersih kotoran
Kulit telur yang dihancurkan boleh digunakan untuk membersihkan periuk atau kuali yang melekat.
Teksturnya yang sedikit kasar berkesan menghilangkan kotoran tanpa merosakkan permukaan.