Resipi apam nasi memang mudah, tersalah 'step' memang keras jadinya
MENJAMAH kuih apam atau juga disebut apam nasi ketika masih panas selepas dikukus memang sedap!
Dapat pula secawan kopi 'O' pekat dan likat, kombinasi antara kedua-dua hidangan ini seperti pasangan serasi.
Dengan teksturnya yang gebu dan lembut, apam nasi akan terasa lebih enak jika dimakan bersama kelapa parut yang digaul sedikit dengan garam untuk membangkitkan rasa lebih lemak.
Bagi yang tidak tahu cara membuat apam nasi pasti membayangkan bahan dan langkah membuatnya renyah dan sukar.
Ternyata cara membuatnya tidak sukar seperti disangka malah bahan digunakan juga ada di dapur rumah.
Kuali kongsikan resipi dan langkah membuat apam nasi seperti yang dikongsikan oleh influencer masakan, Zizie Fazeera (@jijieyzamri).
Bahan-bahan
- 1 cawan nasi sejuk
- 1 1/2 cawan tepung beras
- 1/2 cawan tepung gandum
- 3/4 cawan gula pasir
- 2 sudu teh yis
- 1 sudu teh minyak masak
- Kelapa parut
- Garam
- Air secukupnya
MENARIK DIBACA: Sambal nyok sedap cicah dengan ulam... Tak payah masak, gaul-gaul dah siap!
MENARIK DIBACA: “Ini kerepek ke?” - Pisang goreng nipis buat pembeli bingung, harga pula tak padan dengan rupa
Langkah penyediaan
- Kisar nasi sejuk bersama air secukupnya sehingga lumat. Pastikan nasi yang dikisar tidak terlalu cair atau terlalu pekat.
- Pindahkan nasi yang telah dikisar dalam mangkuk kemudian masukkan tepung beras, tepung gandum, gula pasir, yis dan minyak masak kemudian gaul campuran hingga rata.
- Tambahkan sedikit air sedikit demi sedikit untuk mendapat tekstur likat dan tidak terlalu cair kemudian diamkan adunan selama lebih kurang sejam.
- Bahagikan adunan tadi kepada tiga bahagian kemudian titikkan beberapa titis pewarna makanan mengikut kesukaan anda.
- Tuang adunan yang telah diwarnakan tadi ke dalam bekas kecil bersesuaian kemudian kukus selama lebih kurang 20 minit.
- Taburkan kelapa parut yang digaul bersama sedikit garam di atas apam nasi dan siap untuk dihidangkan.