Cara buat pankek strawberi coklat guna Greek yogurt... Gebu 'gila', tak cukup sekeping!
PANKEK antara hidangan yang cukup mudah disediakan untuk sarapan pagi atau minum petang.
Jika biasanya anda sering makan pankek kosong, apa kata kali ini cuba versi strawberi coklat pula yang menggabungkan rasa manis, sedikit masam dan tekstur gebu dalam setiap gigitan.
Menerusi resipi perkongsian pengguna Threads @byedelynnn, pankek ini cukup mudah disediakan dengan menggunakan Greek yogurt, strawberi segar dan cip coklat.
"Syurga tertinggi untuk akak yang share resipi pancake gebu ni. Resepi simple je tapi hasil dia gebu gila!" katanya.
Bagi anda yang teringin nak membuatnya sendiri, ikut sahaja resipi di bawah:

Bahan-bahan
- ¾ cawan tepung (100g)
- 1½ sudu besar gula
- Secubit garam
- 1 biji telur
- ⅓ cawan Greek yogurt (80g)
- 3 sudu susu (45g)
- 2 sudu kecil minyak (10g)
- 1 cawan strawberi, dipotong kecil
- ¼ cawan cip coklat
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
MENARIK DIBACA: 'Pancake' udang sayur buka selera anak, selesai masalah si kecil 'susah' makan!
MENARIK DIBACA: ‘Syurga’ pencuci mulut berasaskan soya, obanyaki dan taufu fa wajib dicuba!
Cara penyediaan
- Potong strawberi kepada saiz kecil dan ketepikan.
- Campurkan semua bahan kering, termasuk tepung, gula, garam, serbuk penaik dan soda bikarbonat dalam satu bekas.
- Dalam bekas lain, campurkan semua bahan basah iaitu telur, Greek yogurt, susu dan minyak.
- Tuangkan bahan basah ke dalam bahan kering, kemudian gaul sekejap selama kira-kira 20 saat. Elakkan menggaul terlalu lama supaya pankek kekal gebu.
- Masukkan strawberi dan cip coklat, kemudian gaul balik perlahan-lahan hingga sebati.
- Panaskan kuali dengan api kecil hingga sederhana dan tuangkan sedikit adunan penkek.
- Tutup kuali dan masak selama kira-kira 2½ minit bagi setiap bahagian atau sehingga pankek masak sepenuhnya.
- Angkat dan hidangkan ketika masih panas. Anda boleh tambah strawberi segar atau cip coklat sebagai hiasan mengikut cita rasa.
