Asam rebus keladi bangkit selera... Nikmat makan dengan ikan goreng, sambal belacan
SEBUT sahaja asam pedas, ramai terbayangkan hidangan berkuah dengan ikan sebagai bahan utama.
Bagaimanapun, lain pula di bahagian utara tanah air apabila keladi turut dijadikan bahan utama dalam sajian asam pedas dan cukup membuka selera.
Hidangan tradisional dikenali sebagai asam rebus ini sesuai dijadikan lauk makan tengah hari atau malam, cukup nikmat walau hanya dimakan bersama ikan goreng dan sambal belacan.
Menerusi hantaran wanita dikenali sebagai Yatul Hakim, resipi asam pedas keladi cara utara ini cukup ringkas dan tidak memerlukan banyak bahan.
"Buat cara ala utara simple, bahan pun tak banyak je. Keladi mak tolong ambil dari kampung. Tengok balik 'terliuq' sendiri," katanya

Bahan-bahan
- Keladi
- Bawang besar (dikisar)
- Cili kering (dikisar)
- Belacan (dibakar dan dikisar)
- Ikan bilis atau isi ikan kembung/sardin (dikisar)
- Air secukupnya
- Daun kesum atau cenohom
- Asam keping atau asam gelugur
- Kacang bendi
- Garam
- Serbuk perasa
MENARIK DIBACA: Cara buat air keladi premium lazat berkrim, lebih 'kaw' dari bazar
MENARIK DIBACA: Jangan risau daun kesum tak ada! Ini pilihan bahan alternatif nak sedapkan asam pedas
Cara penyediaan
- Rebus keladi bersama asam keping dan sedikit garam sehingga empuk. Kemudian, tos dan ketepikan.
- Masukkan bahan kisar iaitu bawang besar, cili kering, belacan dan ikan bilis/isi ikan ke dalam periuk.
- Tambahkan air secukupnya untuk dijadikan kuah dan masak sehingga mendidih.
- Masukkan daun kesum atau cenohom bersama asam keping dan kacang bendi.
- Perasakan dengan garam serta serbuk perasa mengikut cita rasa.
- Akhir sekali, masukkan keladi yang sudah direbus dan biarkan kuah mereneh seketika supaya semua bahan sebati.
- Sedia dihidangkan bersama nasi putih panas.
