Rahsia sandwic telur kedai serbaneka sedap, tahan lama! Buat sendiri puas makan
SIAPA sahaja yang tak suka makan sandwic telur yang banyak dijual kedai-kedai serbaneka?
Roti lembut bersama inti yang padat dan enak ini memang selalu menjadi pilihan utama pada waktu pagi atau ketika perut rasa lapar secara tiba-tiba.
Di Threads, seorang wanita dikenali sebagai msakyra tampil berkongsi resipi sandwic telur ala kedai serbaneka.
Malah, dia berkata hasilnya lebih memberikan kepuasan berganda berbanding yang dibeli di kedai.
Menariknya, dia turut mendedahkan bahan rahsia yang digunakan untuk menaikkan lagi rasa lemak dan kepekatan tekstur inti telur.

"Rasanya macam sandwic berkrim dekat 7E/FamilyMart tu tahu. Tapi saya buat lagi pekat dan berkrim memang puas hati.
"Secret ingredient yang buat berkrim tu bukan mayonis je, meh saya bocorkan" tulisnya di laman Threads.
Rupanya rahsia kelazatan serta kepekatan inti tersebut adalah dengan menambah sedikit susu krimer bersama bahan tertentu bagi memastikannya tahan lebih lama dan tidak mudah basi.
Berikut adalah resipi penuh yang dikongsikan:
Bahan-bahan
- Roti keping (disapu marjerin terlebih dahulu)
- Telur rebus
- Mayonis
- Sos cili
- Serbuk lada hitam
- Susu krimer
- Cuka
MENARIK DIBACA: Kempen Jom Beli Produk Malaysia kerjasama Jaya Grocer - KPDN
MENARIK DIBACA: UiTM, PKPS gilap bakat keusahawanan mahasiswa menerusi Dapur Ehsan
Cara penyediaan
- Rebus telur sehingga masak sempurna, kemudian lenyekkan mengikut kehalusan atau tekstur diingini.
- Campurkan telur rebus bersama mayonis, sedikit sos cili, dan serbuk lada hitam.
- Masukkan 'bahan rahsia' iaitu susu krimer secukupnya untuk mendapatkan tekstur yang ekstra berkrim dan pekat.
- Masukkan satu atau dua titis cuka ke dalam bancuhan inti. Petua ini penting bagi membolehkan sandwic tahan lebih lama dan tidak cepat basi.
- Sapu marjerin pada kepingan roti kemudian ratakan inti telur dengan tebal.
- Sedia untuk dihidangkan!
