Kek tapak kuda red velvet menggoda selera, resipi Kak Sue buat ramai terliur
KEK tapak kuda pernah mencetuskan fenomena di Malaysia apabila populariti kek gulung itu menjadi rebutan serta bualan ramai.
Di platform media sosial, ramai penjual kek tapak kuda muncul dan berlumba-lumba menjual produk mereka sehingga laris ibarat pisang goreng panas.
Keistimewaan kek tapak kuda bukan sahaja terletak pada rasanya yang sedap, tetapi juga terkenal kerana teksturya yang lembut, gebu dan tidak muak bila dimakan.
Lebih enak, kek tapak kuda hadir dengan pelbagai variasi rasa seperti nutella, oreo, biscoff serta aneka pilihan rasa menarik yang lain mengikut kegemaran masing-masing.
Kali ini Kuali sertakan cara membuat kek tapak kuda red velvet, hasil resipi yang dikongsikan seorang influencer bernama Kak Sue untuk anda cuba sendiri di rumah.
MENARIK DIBACA: Tumis brokoli cendawan, hidangan bergizi pikat selera anak masa cuti sekolah
MENARIK DIBACA: Kulit limau melegakan tekanan, buahnya pula bekalan nutrisi baik untuk badan
Bahan-bahan
Bahan A (Red velvet)
- 5 biji telur (Gred A)
- 5 biji kuning telur (Gred A)
- 125 gram gula kastor
- 15 gram ovalet
- 75 gram tepung kek
- 13 gram serbuk susu
- 1 sudu kecil esen vanila
- 15 gram serbuk koko
- 180 gram mentega (Dicairkan)
- Pewarna merah (Secukupnya)
- 10 gram serbuk koko + 2 sudu besar air panas (Dilarutkan)
Bahan B (Lapisan krim)
- 150 gram krim keju
- 50 gram gula kastor
- 1 1/2 sudu kecil gelatin (Supaya lapisan krim tahan pada suhu bilik)
- 1 cawan krim putar tenusu
- 1/2 sudu kecil esen vanila
Bahan C (Lapisan coklat)
- 1/2 cawan air
- 200 gram coklat (Dicairkan)
- 200 gram gula pasir
- 200 gram sirap glukosa / sirap jagung
- 150 gram susu pekat manis
- 6 sudu kecil gelatin + 1/2 cawan air (Larutkan)
Langkah penyediaan
- Campurkan satu persatu bahan A dalam bekas yang sesuai sehingga menjadi adunan kek kemudian ketepikan.
- Untuk lapisan krim, adun semua bahan B dan pukul/kacau sehingga menjadi krim yang lembu dan gebu kemudian ketepikan.
- Adun kesemua bahan C untuk hasilkan lapisan coklat dan ketepikan.
- Untuk proses membakar, sediakan loyang yang sesuai kemudian tuang adunan B (lapisan krim) terlebih dahulu.
- Selepas itu tuangkan pula adunan lapisan coklat (bahan C) di atas lapisan krim (bahan B).
- Pastikan lapisan coklat tidak terlalu tebal, kemudian tuang pula adunan bahan A di atasnya diikuti adunan C.
- Bakar di dalam oven pada sudu 175 darjah Celsius selama 25 hingga 30 minit. Gunakan api atas dan bawah.
- Apabila kek dah masak, biarkan sehingga sejuk sebelum di keluarkan kek dari dalam loyang.
- Gulung perlahan-lahan sehingga menjadi kek gulung. Pastikan tekstur kek tidak pecah.
- Curah lapisan coklat (bahan C) di atas kek yang telah digulung.
- Potong dan siap untuk dihidangkan.