Kuah pekat, aroma rempah bikin perut berbunyi! Berbaloi masak sendiri gulai ayam Kelantan
KALAU ke kedai nasi berlauk Kelantan, antara menu yang jadi kesukaan ramai semestinya gulai ayam.
Kuahnya yang pekat, berempah dengan aroma semerbak yang autentik pasti akan membuatkan kita jatuh cinta walau hanya dengan suapan kali pertama.
Menurusi perkongsian resipi seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Afy AL Habibi, dia berkata rasa gulai ini hampir sama seperti dimakan di kedai yang popular dengan gulai ayam Kelantan.
"Untuk peminat sejati nasi bungkus selera Kelantan, cikgu nak tunjuk cara sendiri selera orang Kelantan dan ada tip gaya makan nasi ni supaya 'terlajak' sedap," tulisnya.
Berikut adalah resipinya.

Bahan-bahan
Isi ayam:
- 1/2 ekor ayam, dipotong
- 100g kopeh ayam (kaki & tulang), direbus dahulu
- 1 asam keping
- Sedikit garam
Bahan tumis:
- 5 sekawan (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih, bunga cengkih kecil)
Bahan kisar:
- 2 biji bawang merah saiz bola ping pong
- 1 ulas bawang putih
- 2 hiris halia
Bahan rempah:
- 3 1/2 sudu besar rempah gulai Kelantan
- 2 cubit serbuk cili
- 1 mangkuk air asam jawa
- 1/3 relung kecil gula nisan
- 1 sudu besar garam
- 1/2 sudu kecil perisa Hilal (pilihan)
- 1 sudu besar gula
- 1/3 cawan santan
- 120–130ml air (ikut kepekatan kuah)
- Kerisik secukupnya
- Lada solok hijau secukupnya
MENARIK DIBACA: Rendang tak masuk 'list' sajian tradisi raya di Kelantan, jika hidang dianggap 'rare'
MENARIK DIBACA: [V] Iman Nasi Kukus syurga masakan autentik Kelantan, pelbagai pilihan buat rambang mata
Cara Penyediaan
- Rebus kopeh ayam dengan asam keping dan sedikit garam hingga separa masak. Cuci bersih ayam, tos dan buang lebihan lemak jika ada.
- Panaskan satu senduk kecil minyak dalam periuk.
- Tumis 5 sekawan sehingga naik bau.
- Masukkan bahan kisar (bawang merah, bawang putih, halia) dan tumis hingga kekuningan.
- Tambahkan rempah gulai Kelantan dan serbuk cili dengan api perlahan dan biarkan rempah garing.
- Tuang semangkuk air asam jawa, masukkan gula nisan, garam, gula dan perisa Hilal. Tutup periuk biarkan pes rempah pecah minyak.
- Tambahkan ayam dan kopeh yang direbus tadi.
- Masukkan secawan air kosong. Kacau sebati dan reneh dengan api perlahan selama 30–40 minit.
- Masukkan santan, tambahkan air ikut kepekatan yang diingini.
- Masukkan kerisik dan lada solok hijau untuk aroma gulai Kelantan. Biarkan 15-20 minit lagi.
- Tutup api bila kuah memekat dan mendidih beberapa kali.
- Hidangkan bersama nasi panas, sambal jantan dan sambal belacan untuk pengalaman gulai Kelantan yang autentik.