Viktor Axelsen lepas geram, pergi Pulau Pinang 'order' makanan penuh meja
PULAU Pinang menjadi antara destinasi kulinari popular di Malaysia kerana menyajikan aneka pilihan makanan enak sehingga menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong dari luar negara.
Peluang menikmati pelbagai makanan lazat di negeri 'pulau mutiara' itu turut tidak dilepaskan oleh bekas pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang berkongsi foto sedang menikmati hidangan enak sewaktu berada di Pulau Pinang.
Menerusi hantaran yang dikongsikan Axelsen dalam Instagram miliknya, pemain dari Denmark itu memuat naik gambar mejanya yang penuh dengan makanan seperti sate char kuetiau, telur dadar tiram, sotong kering dan air kelapa.

Dalam kapsyen, pemain itu memberitahu makanan-makanan tersebut dipesan kerana mahu 'membalas dendam' menikmati pelbagai makanan tempatan selepas disaranka oleh peminatnya.
"Rakan-rakan Malaysia, selama bertahun-tahun anda semua memberikan begitu banyak cadangan makanan tempatan kepada saya.
"Kini sudah tiba masa untuk saya mencubanya. Malaysia Boleh!" tulisnya dalam hantaran tersebut.
MENARIK DIBACA: Aliff Syukri kongsi cara masak cumi 'style' Indonesia, katanya 'sumpah sedap'!
MENARIK DIBACA: Sedap tapi renyah nak cuci! Ini cara bersihkan perut lembu agar bersih, tak hanyir
Difahamkan, juara Olimpik sebanyak dua kali itu menikmati hidangan tersebut di medan selera Persiaran Gurney, Pulau Pinang.
Dalam ruangan komen, ramai pengikutnya terutama warga Malaysia teruja dengan kehadiran bekas pemain profesional dunia itu ke Malaysia.
Sebagai rekod, Axelsen mengumumkan persaraannya bulan lalu susulan masalah kecederaan belakang yang menyebabkan dia tidak dapat lagi bersaing.