Keputusan tinggalkan karier doktor akhirnya ada kemanisan, gerai nasi padang pemuda ini kini jadi sebutan ramai

PEMINAT nasi padang pasti pernah merasai keenakannya di gerai Pondok Minang yang terletak di Bandar Teknologi Kajang, Selangor.
Lima tahun beroperasi, gerai berkenaan akhirnya menjadi pilihan penggemar nasi padang seperti gulai urat keting, rendang daging, gulai jering, dendeng berlado dan ayam goreng berlado.
Siapa sangka di sebalik keenakan juadah di gerai itu, pemiliknya adalah seorang bekas doktor perubatan yang mengusahakan gerai tersebut sejak lima tahun lalu.
Arjanjji Faizal, 36, memberitahu keputusan meninggalkan karier tersebut dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak.

Jelas pemuda mesra disapa Apek ini, dia memang meminati bidang kulinari dan bergelar doktor adalah disebabkan memenuhi permintaan ibunya.
"Saya memilih untuk tidak meneruskan kerjaya sebagai doktor bukan kerana tak suka atau tekanan berkerja tetapi minat saya lebih kepada bidang perniagaan.
"Adik beradik saya semua ada latar belakang perubatan, melihat saya menjadi doktor adalah cita-cita ibu saya.
"Tetapi sekarang, ini masanya untuk saya nak capai impian saya pula iaitu mencari rezeki melalui perniagaan sendiri," katanya ketika ditemui Kuali.
Mengakui peralihan kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi keputusan itu dibuat ketika dia baru sahaja memulakan tugas di sebuah hospital di Pekanbaru, Indonesia.
MENARIK DIBACA: Pengacara ‘Worst Cooks in America’ Anne Burrell meninggal dunia
MENARIK DIBACA: Belum reda kegilaan tiramisu, kini giliran mochi yogurt jadi buruan
Jelas anak jati Gombak, Selangor itu, dia menerima tentangan hebat daripada anggota keluarga, terutama ibunya yang sukar menerima perubahan mendadak tersebut.
"Memang berat untuk ibu bapa saya terima pada awalnya kerana mereka sudah berhabis wang ringgit untuk saya berlajar.
"Nak pula, saya langsung tak letak jawatan secara rasmi, saya berhenti begitu saja dan ambil keputusan untuk terus balik Malaysia.
"Lama-lama mereka sudah mula faham dan berlapang dada menerima perkara tersebut selepas saya buktikan pada mereka kesungguhan saya dalam berniaga," ujarnya lagi.
Kata Apek, kejayaan juga tidak datang bergolek sebaliknya ia datang dengan pelbagai risiko apatah lagi dia keluar daripada zon selesa.
Ini masanya untuk saya nak capai impian saya pula iaitu mencari rezeki melalui perniagaan sendiri
Apek
Pemilik Pondok Minang
Pun begitu kata Apek, berbekalkan minat dan pengalaman membantu ibu bapanya berniaga ketika dibangku sekolah membuatkan dia berani dengan pelbagai cabaran demi memenuhi minatnya.
"Dalam kehidupan ini kejayaan tidak datang bergolek sekiranya seseorang itu tidak berusaha mencapai impian mereka.
"Ia bukan sahaja tentang usaha tetapi perlu datang dengan keberanian berdepan risiko selain keluar daripada zon selesa," jelasnya.
Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu menguruskan perniagaan juga tidaklah semudah yang disangka.
Malah ia memerlukan kesabaran dan kekuatan mental yang tinggi jika mahu benar-benar berada dalam bidang tersebut.

"Tak ada perniagaan yang tidak berdepan cabaran, bukan mudah nak bertahan lebih-lebih lagi dalam keadaan inflasi yang teruk.
"Tetapi saya menikmati proses itu dengan sabar dan akhirnya Allah hantar kami di posisi yang lebih baik.
"Setiap pekerjaan itu ada ujian dia, bukan kata jadi doktor saja stres, sebenarnya berniaga dekat kaki lima pun stres juga. Kita bos dan kita juga kuli," tambahnya.
Menyedari fenomena masakan Minangkabau kian popular, Apek memberitahu gerainya turut menerima tempias apabila semakin ramai pelanggan datang berkunjung.

Terharu melihat sambutan diterima, Apek meluahkan rasa bangga apabila ramai yang mula menunjukkan minat terhadap masakan tradisi nenek moyangnya.
"Saya perasan juga fenomena hidangan Minangkabau semakin popular. Kedai kami turut menerima tempiasnya sebab ramai yang mencari hidangan nasi padang yang sedap.
"Saya rasa bangga kerana ramai yang mula menunjukkan rasa minat mereka dan menghargai masakan tradisi Minangkabau.
"Dan secara tak langsung buatkan saya sebagai orang berketurunan Minang semangat untuk kenalkan budaya dan keistimewaan makanan kami," ujarnya.