Nak buat tiramisu tapi biskut ladyfingers mahal, rupanya guna bahulu pun lagi sedap!

SEBUT sahaja tiramisu, siapa tidak kenal pencuci mulut klasik dari Itali yang kini semakin menjadi kegilaan ramai sampaikan ramai cuba buat sendiri di rumah.
Namun, untuk menghasilkan tiramisu autentik, ia memerlukan bahan-bahan premium seperti keju mascarpone, krim putar, kopi espresso serta bahan utama iaitu biskut ladyfingers.
Hal ini menjadikan kos penyediaannya agak tinggi terutama jika dibandingkan dengan pencuci mulut lain.

Selama ini, ramai menyangka bahawa hanya biskut ladyfingers sahaja boleh digunakan dalam resipi tiramisu.
Namun begitu, perkembangan trend masakan di media sosial mula membuka mata ramai menjadi lebih kreatif mencari bahan alternatif digunakan sebagai pengganti.

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok dengan nama akaun @carrothings menarik perhatian warganet apabila berkongsi resipi tiramisu menggunakan biskut ikan.
Walaupun cubaan menggunakan biskut ikan mungkin tidak menghasilkan rasa tiramisu ideal dan mencetuskan perdebatan, perkongsian itu sebenarnya membuka ruang kepada idea menarik untuk dicuba.
Menurutnya, tekstur ladyfingers yang dicelup dalam cairan kopi memberikan rasa seperti kek lembut manakala biskut ikan rasanya sedikit masin, walaupun begitu, masih enak untuk dinikmati.

Selain ladyfingers dan biskut ikan, terdapat beberapa jenis bahan lain boleh dijadikan pengganti mengikut bajet anda.
- Bahulu – Teksturnya lembut dan menyerap cecair, sesuai dicelup dalam kopi malah rasanya lebih enak.
- Biskut Marie – Lebih mudah didapati dan lebih murah dan rasanya lebih mirip dengan ladyfingers.
- Biskut Digestive – Memberikan rasa sedikit berempah dan tekstur rangup yang menarik.