KUALI | Trending

Cinta The Rock Chilli Queen terhadap habanero tetap membara

Lead Image

HABANERO... Pengikut setia The Rock Chilli Queen di Instagram pasti sudah terbiasa dengan trademark pempengaruh media sosial setiap kali memulakan bicara dalam setiap videonya.

The Rock Chilli Queen atau Adilah Sainer memang obses dengan cili habanero sehingga menggunakan bahan tersebut dalam setiap masakannya dan menjadi identitinya dalam dunia kulinari.

Disebabkan Adilah, ramai mula menyukai cili tersebut dan mula bereksperimen di dapur menggunakan resipi dikongsinya.

Dari sambal ringkas berkonsepkan moden sehingga lauk pauk tradisional, setiap menu dihidangkan 'membakar' deria rasa namun kesemuanya kelihatan menggoda selera.

Masak Lemak Ketam dimasak menggunakan dill menggantikan daun kunyit.

Kata pembuat kandungan dengan penampilan berani ini, hidangan disajikan tidak lengkap tanpa elemen padas jadi penggunaan habanero ibarat penambah rasa dalam masakannya.

Bahkan, kata Adilah suaminya iaitu Micheal Sainer yang berasal dari Jerman turut gilakan makanan pedas.

Malah gelagat Micheal menikmati pelbagai hidangan disediakan Adilah sering kali mendapat perhatian pengikutnya.

Biarpun latar belakang budaya mereka berbeza, namun Adilah memberitahu sejak awal perkenalan mereka, suaminya gemar masakan Melayu Kampung.

MENARIK DIBACA: Enam jenis bunga ini boleh dimakan! Cef tunjuk cara buat manisan memikat selera

MENARIK DIBACA: [V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan

“Saya perkenalkan suami kepada aneka hidangan kampung seperti petai, budu, cencaluk, tempoyak dan sebagainya... Tekaknya memang boleh terima.

“Anak-anak pula apabila lihat kami makan pedas mereka ikut sekali. Saya tak pernah paksa tapi hidangkan sajian dengan tahap kepedasan berperingkat.

Sekarang satu keluarga sukakan makanan pedas bahkan mereka akan mengadu kalau tak cukup pedas,” katanya kepada Kuali.

Perkahwinan campur turut membentuk kreativiti Adilah di dapur.

Perkahwinan cetus ilham masakan

Bercerita lanjut tentang cintanya terhadap masakan, Adilah menyifatkan perkahwinan campur dengan Micheal turut membentuk kreativitinya di dapur dalam mencari titik tengah dalam setiap menu disediakan.

Adilah juga percaya seperti sesebuah perkahwinan, masakan fusion juga perlukan kompromi dan keterbukaan kepada 'rasa' baharu yang diterokai termasuklah perlu berfikiran di luar kotak.

Perkahwinan saya ibarat Masak Lemak dengan Sauerkraut, melambangkan gabungan budaya saya sebagai Melayu dan suami warga negara Jerman. 

 ADILAH SAINER

Pempengaruh Media Sosial

Perkahwinan saya ibarat Masak Lemak dengan Sauerkraut, melambangkan gabungan budaya saya sebagai Melayu dan suami warga negara Jerman.

Pedas lemak santan bertemu dengan rasa masam segar sauerkraut. Ketara perbezaan namun serasi bila bergabung,” ujarnya dengan cara itu, kedua budaya dapat dinikmati pada masa sama saling menghormati.

Kaki kambing panggang dipadankan dengan air asam sos habanero.

Budu dan spageti pelik tapi enak

Kata ibu kepada dua cahaya mata ini, spageti sos krim bersama budu menjadi menu signature dan kegemaran keluarganya.

Tidak hanya itu, sambal sotong atau udang petai bersama petai juga antara menu wajib disediakan Adilah.

Kedengaran pelik, tapi sebenarnya sedap.

Perkahwinan campur budaya begitu, ada cabaran dan perbezaan, tapi hasilnya harmoni dan unik,” jelasnya.

Sebelum menguasai dunia konten masakan, Adilah bukan orang asing dalam dunia kulinari malah pernah memiliki sebuah restoran iaitu TAFT The Artisan Food Trail, Restoran & Bar yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Samaran TRCQ turut diberikan oleh salah seorang pelanggan setia kepadanya kerana penampilan Adilah yang berkarisma dan gemar menggunakan bahan pedas dalam menunya.

Adilah dikenali sebagai The Rock Chilli Queen kerana penampilannya yang berkarisma dan berani.

Gemar bereksperimen

Jelas Adilah, sejak dari dulu lagi dia gemar bermain dengan bahan masakan dari Barat seperti thyme, dill sebagainya.

“Saya pernah gantikan daun kunyit dengan dill untuk masak lemak ketam.

Kalau masak spageti bolognese, orang lain guna pes tomato saya pula ganti dengan cili kisar.

Begitu juga dengan masak singgan atau asam pedas, saya pernah guna serbuk singgang dari Filipina yang lebih ringan aromanya,” katanya.

Ujar wanita ini, minatnya dalam bermain dengan bahan masakan pernah mencetuskan perdebatan pengikutnya.

Namun Adilah tidak melatah, sebaliknya cuba untuk berkongsi pandangan dan pembaharuan terhasil mencetuskan trend dalam kalangan peminat sajian fusion.

Spagheti sambal belacan yang saya sendiri olah pernah viral. Saya goreng semula lebihan sambal belacan lalu campur dengan spagheti dan udang.

“Satu lagi menu signatur saya adalah Laksa Taft, gabungan Laksa Kelantan dengan inspirasi Itali.

“Laksa ini menggabungkan rasa kuah ikan tuna berlemak dengan ulam dinikmati bersama Italian basil dan pasta penne,” kongsinya kini menetap di Virginia Amerika Syarikat atas urusan kerja.

Rindu bahan masakan kampung

Jelasnya, apabila berpindah keluar negara hampir tiga tahun, dirinya sangat merindui bahan masakan dari Malaysia.

Antara bahan masakan kampung tidak pernah Adilah jumpa di pasar Asia adalah bunga kantan, daun kunyit dan petai segar serta kicap kipas udang.

Kalau ada jual dalam talian juga cepat habis dan mahal. Tapi secara keseluruhan, saya sangat bernasib baik sebab banyak bahan masakan Asia boleh didapati di sini.

Daun kesum dan pucuk ubi mudah didapati di sini. Jadi saya perlu lebih terbuka membiasakan diri dengan mempelbagaikan penggunaan bahan masakan.

Contohnya, kalau tiada daun kunyit, saya ganti dengan herba lokal seperti thyme, rosemary atau dill. Rasanya tak sama tapi cukup untuk beri aroma sedap dan unik,” ujarnya.

Adilah banyak bereksperimen dengan penggunaan bahan masakan.

Teroka peluang baharu

Akuinya, berpindah ke Amerika Syarikat sudah tentu satu perubahan besar buat dirinya dan anak-anak.

Baginya, meninggalkan keluarga dan kehidupan di Malaysia bukan senang, tapi harus melihatnya secara positif untuk anak-anak belajar dan membesar dalam suasana baru.

Berpindah memberikan peluang untuk saya mendapat ilham baharu dalam masakan, terutama dari aspek adaptasi bahan masakan di sini.

Secara tidak langsung, timbul lagi banyak idea fusion dan saya berpeluang belajar bahawa makanan Amerika bukan sekadar makanan segera.

Sebenarnya ada banyak bahan segar dan hidangan tradisi menarik untuk diterokai,” katanya yang kini turut mempunyai pengikut dari Amerika Syarikat.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Uptown Damansara berwajah baharu, peniaga pindah dalam dilema... Ada pula nekad tutup tak mampu bayar sewa

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Havoc Trio Festival 2025 gegar WTC Kuala Lumpur, himpun 300 vendor termasuk makanan viral

Terhangat