Makan perlahan kurangkan risiko obesiti sebanyak 45 peratus
DALAM kehidupan serba pantas, waktu makan menjadi rutin perlu 'diselesaikan' segera sedangkan cara menikmati makanan memainkan peranan besar terhadap kesihatan sekali gus mengundang risiko obesiti.
Selepas makan, sistem pencernaan secara semula jadi akan melepaskan hormon menghantar isyarat kepada otak memberitahu badan mula kenyang.
Namun, proses ini mengambil masa kira-kira 20 minit. Jadi, apabila makan secara gelojoh, otak tidak sempat menerima isyarat kenyang menyebabkan keinginan untuk makan lebih banyak daripada diperlukan.

Menurut penyelidikan American Heart Association Scientific Sessions 2017, tabiat makan secara perlahan menjadi kunci kepada penjagaan kesihatan dan pengurusan berat badan lebih baik.
Kajian lain dikendalikan penyelidik dari Universiti Kyushu, Jepun sekitar 2018 turut mendapati bahawa individu makan dengan perlahan mempunyai 45 peratus kurang risiko mengalami obesiti berbanding mereka makan dengan cepat.
MENARIK DIBACA: Sajian Minnan sepanjang November di Le Méridien Putrajaya, pengalaman gastronomi merentas budaya
MENARIK DIBACA: Ikan kembung percik enak, juadah tradisional penuh aroma
Penemuan ini menunjukkan bahawa amalan makan secara berhemah boleh menjadi kaedah mudah tetapi berkesan untuk mengekalkan berat badan sihat.
Menurut laporan Associated Press of Pakistan (APP), tabiat makan dan mengunyah dengan perlahan bukan sahaja membantu mengawal berat badan tetapi melambatkan kemunculan sindrom metabolik seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan tahap kolesterol tidak normal.
Sebaliknya, makan dengan laju dikaitkan dengan peningkatan berat badan, ukuran pinggang lebih besar serta paras glukosa darah lebih tinggi.

Makan dengan cepat cenderung tidak berasa kenyang walaupun mengambil makanan banyak.
Hasilnya, kalori berlebihan terkumpul dan lama-kelamaan menyebabkan pertambahan berat badan.
Justeru, luangkan masa untuk menikmati setiap suapan, hargai rasa, tekstur dan aroma makanan dinikmati.