Malaysia terpelanting dari senarai 100 kota kulinari terbaik dunia, netizen panas hati!
WALAUPUN terkenal sebagai destinasi gastronomi di mata dunia, Malaysia bagaimanapun tidak tersenarai dalam 100 Kota Kulinari Terbaik Dunia.
Menerusi laporan portal kulinari antarabangsa TasteAtlas baru-baru ini, tiada satu pun kota dari Malaysia berjaya menempatkan diri dalam senarai tersebut.
Sementara, beberapa kota dari negara jiran berjaya memasuki senarai berkenaan.

Misalnya, Singapore berada di tangga ke-20 terbaik bersaing dengan kota-kota dari Eropah lain.
Manakala Indonesia pula mencatat penyertaan terbanyak dari Asia Tenggara apabila enam kotanya turut berada dalam senarai iaitu Jakarta (21) Bandung (34), Padang (45), Surabaya (65), Surakarta (92) dan Yogyakarta (97).
Bukan itu sahaja, Vietnam turut memiliki wakilnya dengan Hanoi (47) dan Ho Chi Minh City (60), manakala Bangkok, Thailand (62) turut berada dalam kelompok 100 terbaik.
Menurut laporan TasteAtlas, senarai tahunan ini disusun berdasarkan data terkumpul daripada hampir 19,000 kota di seluruh dunia dengan lebih 500,000 ulasan.
MENARIK DIBACA: Saiznya mungkin kecil, pisang mas muncul terbaik di dunia
MENARIK DIBACA: ‘Tewas’ dengan teh ais Thai, teh tarik minuman ke-34 terbaik dunia
Daripada undian tersebut, 100 kota terbaik dipilih berdasarkan hidangan tempatan yang paling umum disajikan di setiap kota.
Di kedudukan teratas, empat kota dari Itali mendominasi carta iaitu Naples (1), Milan (2), Bologna (3) dan Florence (4), sebelum diikuti Mumbai, India di tangga kelima.
Ketiadaan kota-kota Malaysia seperti Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan Johor Bahru menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Rata-rata terkejut memandangkan Malaysia sering diiktiraf sebagai negara dengan kekayaan dan kepelbagaian sajian warisan.

Malah, ada yang turut mempersoalkan penilaian portal berkenaan.
“Orang Singapura sanggup memandu berjam-jam sebab tak nak makan makanan sendiri, tapi korang letak mereka di tangga ke-20?
“Pelik! Negara-negara dengan street food yang tak berapa bersih pun boleh masuk dalam senarai," komen netizen.