Peniaga bebas jual makanan warna warni, pengguna beli tak fikir risiko... KKM diminta lebih tegas
MENAMBAH pewarna makanan dalam masakan akan menghasilkan hidangan yang menarik dan dapat memancing perhatian pelanggan walau dari jauh.
Zaman dahulu, kebanyakan sajian tradisional menggunakan bahan semula jadi seperti daun pandan, bunga telang atau kunyit untuk mendapatkan warna tertentu dalam masakan.
Bagaimanapun zaman sekarang ramai memilih jalan pintas dengan menggunakan pewarna makanan tiruan kerana ia lebih menjimatkan masa dan kos.

Seorang doktor gigi dikenali sebagai Dr Asiah menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan pewarna makanan yang jelas tidak lagi selamat.
“FDA dah buat pengumuman sejak April 2025 lagi. Bila Bahagian Pemakanan KKM nak mula 'implement' ni? Seram tengok makanan warna warni masih merata-rata kat Malaysia ni,” tulisnya.
Dia merujuk kepada tindakan U.S. Food and Drug Administration (FDA) yang sebelum ini menarik balik kebenaran penggunaan pewarna makanan sintetik berasaskan petroleum termasuk Red No. 3 kerana dikaitkan dengan risiko kanser dalam kajian haiwan.
MENARIK DIBACA: Tular karipap mahal 4 biji RM10, wanita terpikat lepas pergi 'siasat' sendiri gerai - "Makan sampai terangguk-angguk"
MENARIK DIBACA: Perhatikan 5 'red flags' gerai di bazar Ramadan, jika nampak elak singgah
Dr Asiah turut meluahkan kebimbangan melihat penggunaan pewarna yang berlebihan dalam sesetengah makanan yang dijual di pasaran.
“Makanan yang boleh guna warna asli macam roti jala, letak kunyit sikit pun dah kuning menyala pun ada orang guna pewarna.
"Nasi kerabu yang asalnya menu sihat pun merata lagi orang guna pewarna biru. Kalau ada yang guna nasi putih tu bagus, susah sangat ke nak guna bunga telang?” ujarnya.

Menurutnya, meskipun jelas penggunaan bahan tersebut boleh mendatangkan bahaya, ada peniaga tetap menggunakannya dalam masakan kerana sedar pelanggan mudah tertarik dengan 'rupa' makanan yang menarik.
Meskipun tidak semua pewarna makanan berbahaya, kebanyakannya diperbuat daripada bahan kimia berasaskan petroleum yang berisiko menyebabkan alahan, hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak serta gangguan kesihatan lain jika diambil secara berlebihan.
Selain itu, penggunaan melebihi had selamat harian boleh memberi tekanan kepada organ seperti hati dan buah pinggang dalam jangka panjang.
Lebih membimbangkan, terdapat kes penggunaan pewarna tidak berdaftar atau pewarna industri yang mengandungi bahan toksik dan berpotensi meningkatkan risiko kanser.