Program makanan percuma bertukar tragedi, ratusan murid dikejarkan ke hospital lepas makan daging
LEBIH 200 pelajar dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan selepas menikmati hidangan di bawah program Makanan Bergizi Gratis (MBG).
Kejadian itu tular di media sosial Indonesia selepas ramai pelajar mengadu pening kepala, loya dan muntah dipercayai selepas makan menu baharu berasaskan kepingan daging yang dimasak ala krengsengan (daging masak kicap pedas).
Menurut laporan media antarabangsa, sebahagian besar mangsa dihantar ke Hospital Ibu dan Anak IBI di Jalan Dupak, Surabaya untuk menerima rawatan lanjut.
Ketua Pusat Kesihatan Tembok Dukuh Surabaya, Tyas Pranadani berkata, kira-kira 12 sekolah menerima makanan daripada dapur penyedia yang sama.
“Hampir semuanya mengadu simptom sama. Setakat ini data yang kami terima melibatkan hampir 200 pelajar dari tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah,” katanya mengenai insiden itu pada Isnin lalu.
Tambahnya, kebanyakan mangsa mengalami simptom pening, loya dan muntah selepas menikmati makanan program MBG tersebut.
Insiden itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan kualiti bahan makanan digunakan.

“Pernah masak krengsengan guna daging ‘slice’, terus rasa pening dan loya,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen pula mendakwa kemungkinan daging yang digunakan terlalu berlemak dan berkualiti rendah.
Selain itu, ada juga yang beranggapan masalah mungkin berpunca daripada proses penghantaran makanan sehingga hidangan menjadi basi sebelum sampai kepada pelajar.
MENARIK DIBACA: Ramai isteri akui 'cut sugar' demi keluarga! Badan ringan, tak mengah buat kerja rumah dan mudah urus anak
MENARIK DIBACA: Buah keras banyak fungsi, manfaat... Ketahui 5 kesan jika letak lebih dalam masakan
Sementara itu, pihak Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG) Bubutan Tembok Dukuh tampil memohon maaf atas kejadian itu.
“Kami memohon maaf sebesar-besarnya kepada pelajar dan guru yang terkesan akibat keracunan makanan ini,” kata Ketua SPPG, Chafi Alida Najla.
Beliau berkata, pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya termasuk menanggung kos rawatan mangsa.
Dalam masa sama, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan sampel makanan di Balai Besar Laboratorium Kesehatan (BBLK) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut Chafi, menu daging ‘slice’ itu merupakan hidangan baharu yang diperkenalkan selepas menerima permintaan daripada pelajar sendiri.
Susulan insiden berkenaan, operasi SPPG terbabit dihentikan sementara sehingga siasatan selesai dijalankan.