Pameran Kafe dan Minuman Antarabangsa 2026 kembali gegar KL, himpun 650 jenama terkenal dunia
PEMINAT kopi dan teh jangan lepaskan peluang untuk merasai kemeriahan Pameran Kafe dan Minuman Antarabangsa (ICBS) 2026 yang kembali berlangsung dari 7 hingga 9 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menariknya, edisi kelima ini bakal menghimpunkan kira-kira 650 jenama, lebih 1,000 barista dan 2,000 pemilik kafe dari seluruh dunia.
Sepanjang tiga hari penganjuran, ICBS 2026 dijangka menarik sekitar 13,000 pengunjung dari 55 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara bertaraf antarabangsa.
Acara yang dianjurkan oleh Montgomery Asia dengan kerjasama dengan Barista Guild Asia, Eciatto dan HJC Global Tea Fair turut memperkenalkan segmen teh khusus buat pertama kali dalam sejarah ICBS.
Menurut Pengarah Projek Montgomery Asia, Alun Jones, pengenalan segmen ini membuktikan bahawa teh kini bukan lagi sekadar minuman sampingan, sebaliknya sudah menjadi elemen penting dalam menu kafe moden.

Jelas beliau, pameran ini memberi fokus kepada pelbagai inovasi teh dari seluruh dunia sebagai gambaran jelas perkembangan trend minuman semasa.
"Pada tahun 2026, kami menyaksikan landskap minuman yang semakin pelbagai dan dipacu inovasi.
"Kopi terus menjadi asas budaya kafe, namun momentum kukuh turut dilihat dalam teh khusus, minuman sedia diminum serta konsep berinspirasikan mixology.
"Dan ICBS direka untuk memberi peluang kepada pemain industri memanfaatkan perkembangan dalam segmen-segmen ini.” katanya.
MENARIK DIBACA: Kopi paling mahal di dunia ada di Dubai, RM4,000 secawan!
MENARIK DIBACA: Ramai terhibur lihat lelaki 'angkuh' minum Americano tanpa gula, rasa diri cukup matang
Dalam pada itu, acara ini juga menjadi pentas untuk bakat tempatan dan antarabangsa menyerlahkan diri mereka menerusi Kejohanan Terbuka Kopi Malaysia (MOCC).
Tiga kategori dipertandingkan dalam MOCC termasuk Malaysia Open Brewers Cup, Malaysia Open Latte Art Championship dan Malaysia Open Barista Championship.
Di samping itu, elemen kreativiti tempatan turut diketengahkan menerusi Unite Malaysian Taste Challenge 2026, sebuah pertandingan yang menghimpunkan barisan mixologist baharu dan berpengalaman dalam menghasilkan mocktail berasaskan identiti serta cita rasa Malaysia.
Kemasukan ke ICBS 2026 adalah percuma dan pendaftaran kini sudah dibuka dengan dua hari pertama dikhususkan buat pemain industri.
Manakala hari ketiga pula dibukan kepada orang ramai untuk merasai sendiri suasana meriah dunia kafe.