KUALI | Momen

Dua beradik di sebalik Padangs On Wheels, nasi Padang kini sesuai dengan selera tempatan

DI sebalik kejayaan jenama Padangs On Wheels, berdiri dua figura wanita, Khalisha Amanda Lokman, 27, dan adiknya Khistina Amanda Lokman, 24, yang membawa nafas baharu kepada hidangan tradisional dari Kota Padang, di wilayah Sumatera, Indonesia.

Khalisha memegang peranan besar sebagai Pengarah Reka Bentuk Dalaman & Pembinaan merangkap Ketua Sumber Manusia & Latihan, manakala Khistina menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pemasaran & Kreatif kepada Padangs On Wheels Damansara Utama.

Pembahagian tugas itu menjadikan operasi perniagaan lebih tersusun, sekali gus memastikan setiap aspek dari dapur hingga ke pemasaran berjalan lancar sejak ia mula beroperasi pada Ogos 2022. 

Suasana kafe moden di Padangs On Wheels Damansara Damai menggabungkan konsep santai dan selesa.

Cabaran menerap cita rasa lokal 

Dua beradik itu mengakui untuk sentiasa mengekalkan prestasi cemerlang tak mudah seperti dibayangkan. 

Mereka berkata, cabaran terbesar adalah memperkenalkan nasi Padang kepada masyarakat tempatan yang sebenarnya masih ramai belum faham konsep hidangan disediakan.

"Nasi Padang asli dihidangkan dalam suhu bilik, bukan bermakna sejuk. Jika dipanaskan berulang kali boleh jejas keaslian rasa. 

"Keadaan ini agak asing bagi pelanggan tempatan yang lebih gemar menikmati makanan panas kerana hidangan hangat dianggap sihat," kongsi mereka. 

MENARIK DIBACA: Sambal belacan udang bakar, dijamin tak cukup sepinggan nasi

MENARIK DIBACA:Pameran Kafe dan Minuman Antarabangsa 2026 kembali gegar KL, himpun 650 jenama terkenal dunia

Jadi, mereka mengambil pendekatan mengubah sedikit cara penyajian agar lebih mesra dengan selera tempatan tanpa menjejaskan identiti hidangan masyarakat Minangkabau.

"Sebenarnya, masakan bersantan akan cepat basi jika dipanaskan berulang kali. Jadi kami cuba untuk panaskan lauk secara berasingan jika pelanggan mahu," jelas mereka.

Sentuhan konsep kafe kontemporari menjadikan pengalaman makan lebih unik dan berbeza.

Gabungan tradisi dengan konsep moden 

Menariknya, strategi mereka untuk menarik pelanggan juga tidak bergantung sepenuhnya kepada makanan tradisi. 

"Konsep moden diketengahkan menerusi elemen reka bentuk restoran ke arah kafe kontemporari dan bukan gaya Minang seperti kebanyakannya. 

Nasi padang asli dihidangkan dalam suhu bilik, bukan bermakna sejuk. Jika dipanaskan berulang kali boleh jejas keaslian rasa. 

"Kelainan ini menjadikan pengalaman menikmati nasi padang di Padangs On Wheels unik.

"Pada awalnya memang pelik bila orang datang kafe untuk makan nasi Padang, tapi lama-kelamaan ia diterima," kongsi mereka lagi.

Hidangan nasi Padang autentik dengan pilihan lauk berempah yang membuka selera.

Identiti Minang disesuaikan mengikut selera tempatan 

Dari segi menu pula, Padangs On Wheels mengekalkan identiti masakan Minang Indonesia namun mereka perlu bijak mencari keseimbangan agar setiap hidangan disajikan sesuai dengan lidah tempatan.

Antara hidangan popular termasuklah daging dendeng rangup bersama sambal balado, rendang Minang, ayam kalio, ayam pop dan pelbagai lauk berlada yang kaya dengan rempah.

Menariknya, harga ditawarkan juga berpatutan, sekitar RM20 pelanggan sudah boleh menikmati hidangan lengkap seperti nasi bersama lauk pilihan dan minuman, menjadikannya pilihan ideal untuk golongan bekerja.

Padangs On Wheels Damansara Damai, destinasi wajib untuk penggemar nasi Padang moden.

Dari air tangan nenek, ke empat cawangan 

Melangkah ke hadapan, dua beradik itu menyimpan impian besar untuk memperluaskan jenama ke seluruh negara, termasuk perancangan membuka cawangan di Pulau Pinang.

"Apa kami mahukan adalah semua orang dapat merasai nasi Padang dan pada masa sama menyediakan hidangan yang rasanya seperti masakan rumah," kata mereka.

Khalisha Amanda, 27 dan adiknya Khistina Amanda, 24, menguruskan cawangan Padangs On Wheels Damansara Damai, Kuala Lumpur.

Mengimbas tentang perjalanan Padangs On Wheels, dua beradik itu menjelaskan perniagaan dimulakan dari trak makanan berkembang kepada empat cawangan tetap di Shah Alam, Subang Bestari, Damansara Utama dan Kuala Lumpur.

Kata mereka setiap hidangan disajikan adalah dari resipi warisan nenek, Rosnaini Karim.

Menu dihidangkan kepada pelanggan juga sebenarnya adalah makanan sering dinikmati sejak kecil seperti ayam kalio menjadi kegemaran anak-anak. 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Viral

3 bulan mengidam, suami tak layan! Ibu hamil cari individu sudi masakkan ayam goreng

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Dunia

Mat salih kena 'scam' di negara sendiri! 'Fish and chips' disangka ikan kod, rupanya patin murah

Terhangat