Cef Zaini buktikan Malaysia Boleh! Raih ranking ke-92, tempat ke-17 terpantas kejohanan piza dunia di Itali
PEMBUAT piza berasal dari Malaysia, Cef Zaini Ahmad melakar kejayaan tersendiri sekali gus mengharumkan nama negara apabila meraih tempat ke-92 di Pizza World Championship 2026 yang berlangsung di Parma, Itali.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Cef Zaini dalam Instagram miliknya yang turut dihujani ribuan ucapan tahniah.
Dalam hantaran sama, Cef Zaini turut berkongsi kedudukannya untuk kategori The Fastest yang berjaya meraih tempat ke-17 daripada 29 peserta.

"Untuk kategori Napolitana STG Pizza, saya berada di kedudukan 92 daripada 112 peserta.
"Bagi kategori The Fastest, saya berada di kedudukan ke-17 daripada 29 peserta dengan catatan masa 01:27:02 saat untuk membuka lima doh piza paling laju.
"Secara keseluruhan, pertandingan ini melibatkan 770 penyertaan dari 50 buah negara," katanya.
MENARIK DIBACA: Cef Zaini terbang ke Itali sertai pertandingan piza dunia, Malaysia berbangga!
MENARIK DIBACA: "Tunjuklah hasil, berani sahut?" - Jofliam cabar pembuat piza tandingi kejayaannya
Dalam hantaran sama, Cef Zaini yang memiliki pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang pembuatan piza itu memberitahu, penyertaannya dalam kejohanan tersebut adalah untuk menimba ilmu dengan lebih luas.
"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, tujuan utama saya menyertai kejohanan piza adalah untuk mencari pengalaman.
"Saya mahu rasakan sendiri perasaan bagaimana jika menyertai pertandingan yang turut disertai dengan cef berkelas dunia.
"Selain itu saya turut dapat bertemu dengan cef piza dari serata dunia. Ini baru permulaan, bukannya kejayaan," tulisnya dalam Instagram.
Terdahulu, nama cef piza yang sebelum ini pernah bekerja di Glasgow, Scotland itu menjadi bualan di media sosial apabila beliau bakal beraksi di pentas antarabangsa dalam Pizza World Championship di Parma, Itali pada 14 hingga 16 April 2026.

Penyertaan cef piza berbakat dari Malaysia ini bukan sahaja membanggakan, tetapi membuka mata masyarakat bahawa anak tempatan juga mampu bersaing dalam industri piza global.
Sekadar tambahan, pada 2024 pempengaruh dan usahawan piza Malaysia, Jofliam mencapai kejayaan dengan menduduki tangga ke-99 dalam pertandingan The Best Pizza In The World 2024 di Milan, Itali.
Kejayaan itu menyaksikan Jofliam diiktiraf sebagai salah seorang daripada 100 pembuat piza terbaik dunia selepas bersaing dengan ribuan peserta.
Pada 2023, beliau meraih tempat ke-4 daripada 50 peserta antarabangsa dalam pertandingan di Tutto Pizza Expo, juga diadakan di Itali.