'Dugaan' dapat jiran India! Aroma kari buat ramai tak keruan, tak malu hulur pinggan
PERKONGSIAN seorang pengguna Threads mencuri perhatian ramai apabila dia menceritakan tentang 'dugaan' mendapat jiran berbangsa India.
Dugaan yang dimaksudkan adalah masalah aroma kari dimasak jirannya yang digambarkan sebagai menggoda selera.
"Dugaanlah berjiran dengan India ni. Dia masak kari sedap, nak minta sikit segan," luahnya.
Hantaran tersebut dihujani pelbagai komen netizen yang turut berkongsi pengalaman berjiran dengan masyarakat India.
Rata-rata sependapat dengan menyifatkan jiran berbangsa India sebagai pemurah dan tidak berkira dalam berkongsi makanan.
"Minta saja, dia mesti bagi percayalah. Saya berjiran dengan India di kiri kanan dan belakang rumah sejak 1985 hingga 1994. Kita pun apa lagi, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa," kata seorang netizen.

Seorang lagi warganet pula mengimbau kenangan di tempat kerja lama apabila seorang 'aunty' India kerap membawa sarapan dan makan tengah hari untuk dikongsi bersama.
"Makcik tu mula-mula tawar (makanan) saya segan nak ambil. Tapi sebab nak jaga hati, saya makan juga memang sedap. Esok dia bagi lagi, lusa bagi lagi. Lama-lama sampai dia suap, tiba-tiba saya jadi macam anak dia pula.
MENARIK DIBACA: Isteri pelik suami suka sangat sotong dalam tin, ramai tampil mengaku peminat tegar - "Ketagih dari kecil"
MENARIK DIBACA: 7 tip, pantang larang masak sotong celup tepung! Salutan rangup, tak tertanggal
"Rakan sekerja saya perempuan India pun selalu bawa bekal, saya cuba rasa sebab nenek dia masak sedap. Sejak tu hari-hari nenek dia bekalkan untuk saya," antara perkongsian pengalaman netizen.
Ada juga yang berkongsi kisah jiran yang pada awalnya keberatan untuk berkongsi makanan dimasak kerana status halal.
Bagaimanapun, jiran tersebut sanggup membeli perkakas memasak baharu semata-mata mahu orang lain merasa masakannya.

"Dulu saya pernah minta tapi jiran kata tak boleh sebab dia masak kari biawak. Lepas tu dia beli periuk baru dan masak kari ayam.
"Alhamdulillah dapatlah saya rasa. Dia kata tak boleh campur bahan jadi dia tak boleh bagi. Dia beli semua baru tapi gaya masak sama. Seronoknya berjiran rindu mereka, semoga sihat selalu," cerita seorang netizen.
Ada juga yang sanggup memberi bahan mentah kepada jiran India minta dimasakkan kari.
"Saya bawa bahan dan minta dia masakkan sebab tak tahan bau sedap. Dia tak ambil barang saya, dia terus cedok untuk saya. Sedap sangat sampai sekarang teringat. Masa tu saya kerja Sime Darby, jiran India rumahnya sangat bersih.
"Saya pernah minta jiran ajar buat mutton curry dan dia dengan senang hati setuju. Masa tu bulan puasa dua tahun lepas. Kami ‘berkampung’ di rumah dia dari pukul 11 malam sampai 3 pagi terus sahur.
"Esoknya saya datang rumah dia bawa ayam dan ikan tenggiri. Semalam saya bau dia masak kari, jadi dia tolong masakkan untuk saya. Kongsi 50-50," komen netizen.