"Kalau daging beku dah cair, berat sama ke?" - Peniaga buat eksperimen gara-gara soalan kanak-kanak
DAGING beku sering dianggap lebih berat berbanding daging yang sudah dicairkan kerana ramai percaya ais yang terkandung di dalamnya menyebabkan kadar timbangan bertambah.
Sebab itu jugalah ramai yang lebih gemar membeli daging segar kerana bimbang beratnya akan berkurangan selepas dibiarkan lembut.
Perkongsian seorang peniaga daging dikenali sebagai @zul_rbmeat membuka mata ramai selepas dia melakukan eksperimen sendiri gara-gara soalan yang diajukan seorang kanak-kanak.
Ceritanya, seorang pelanggan sudah memilih seketul daging import sebelum anak lelakinya yang berusia belasan tahun memegang daging tersebut dan bertanya sama ada beratnya akan berubah selepas dicairkan.

"Dia tanya, kalau daging ni cair, berat dia sama ke? Bagus juga soalan tu," katanya.
Belum sempat Zul menjawab, ibu kanak-kanak itu terlebih dahulu mencelah dengan mengatakan berat daging pasti akan berkurangan kerana ketika beku, ais turut menyumbang kepada berat keseluruhan.
Justeru Zul mengambil peluang tersebut untuk membuat satu eksperimen kecil.
Dia kemudian meletakkan daging berkenaan di dalam bekas dan membiarkannya mencair selama kira-kira dua jam setengah sambil meminta pelanggan tersebut pergi membeli-belah di kedai lain terlebih dahulu.
MENARIK DIBACA: Ramai tak sedar daging jual di pasar raya kebanyakannya kerbau, bukan lembu
MENARIK DIBACA: Sedih tengok daging korban berulat, tukang agih cuma tinggal atas pagar
"Ceria sungguh muka budak tu. Mak dia pula mula-mula macam tak berapa syok sebab daging yang dipilih dijadikan bahan eksperimen.
"Tapi saya cakap, pilih saja daging lain kak, sebab anak akak nak buat testing," katanya.
Selepas dua jam setengah, keputusan eksperimen tersebut membuktikan berat daging berkenaan masih kekal sama walaupun sudah dicairkan.
"Hasilnya, budak tu betul. Berat masih sama selepas 'defrost' dua jam setengah. Disebabkan dia tanya, saya pun dapat benda baharu untuk dikongsi hari ini," katanya.

Tambah Zul, ibu kepada kanak-kanak itu yang pada mulanya kurang senang dengan tindakannya akhirnya berubah fikiran dan memilih potongan daging yang lebih mahal.
Perkongsian itu turut menarik perhatian ramai netizen yang memuji sifat ingin tahu kanak-kanak tersebut, malah menyifatkan cara peniaga itu melayan pertanyaan pelanggan sebagai sesuatu wajar dicontohi.
"Example of a good seller. Budak tu memang 'curious' nak tahu dan awak pula sanggup buat eksperimen untuk jawab soalan dia. Dua-dua pihak pun happy.
"Layanan dan respon yang sangat bijaksana dan berhikmah," antara komen netizen.