5 jenis kopi ini makin popular, anda perlu cuba... Americano, latte dah biasa
DUNIA kopi tidak pernah sunyi dengan idea baharu.
Selain latte dan Americano yang menjadi pilihan ramai, pelbagai jenis kopi kini muncul dengan gabungan rasa, tekstur dan cara penyediaan unik.
Ada yang menggabungkan kopi pekat, espresso dengan susu sejuk, tak kurang menarik menggunakan tonik berkarbonat.
Bagi memberikan paduan memiliki karakter tersendiri, terdapat juga pilihan istimewa seperi buih beraroma sitrus atau campuran bunga sebagai pelengkap kepada kopi.
Berikut lima olahan kopi menjadi trend dan mula menghiasi menu di kafe serata dunia bahkan Malaysia tidak terkecuali.

1. Magic Coffee
Magic Coffee berasal dari Australia dan popularitinya mula berkembang di pelbagai negara sepanjang 2025.
Minuman ini menggunakan dua shot ristretto bersama susu dikukus dalam sukatan lebih kecil berbanding latte.
Gabungan tersebut menghasilkan rasa kopi lebih kuat tetapi masih lembut kerana dicampurkan dengan susu dan buih susu.
Rasanya berada di tengah-tengah antara latte lebih berkrim dan flat white mempunyai karakter kopi lebih ketara.

2. Dirty Latte
Dirty latte pula menarik perhatian menerusi minuman mempunyai lapisan susu putih dan espresso berwarna coklat gelap.
Ia dibuat menggunakan susu sejuk sebelum espresso panas dituangkan perlahan-lahan di atasnya.
Istilah dirty merujuk kepada penampilan minuman ini apabila espresso bercampur dengan susu dan menghasilkan kesan seakan-akan berlapis.

3. Mont Blanc
Mont Blanc adalah satu lagi sentuhan menggabungkan kopi dengan unsur sitrus.
Minuman ini menggunakan Americano dilengkapi buih lembut berperisa sitrus untuk memberikan rasa lebih segar.
MENARIK DIBACA: Masalah kari susah pecah minyak selesai dengan tip 'tumis awal', guna santan kotak pun menjadi!
MENARIK DIBACA: Pajeri rambutan bukan menu pelik, ramai dah makan sejak kecil... Boleh juga masak kari
Parutan kulit oren turut digunakan bagi menambahkan aroma sitrus menjadikan karakter kopi masih terasa, tetapi terdapat sentuhan masam dan segar lebih kompleks.

4. Coffee Tonic
Bagi individu gemar minuman menyegarkan, pilihan ini menggabungkan espreso dengan tonik.
Minuman ini biasanya dihidangkan bersama ais dan boleh ditambah hirisan lemon atau oren.
Kombinasi antara kopi dengan tonik memberikan sensasi bergelembung.

5. Cold Brew
Cold brew pula dihasilkan dengan merendam serbuk kopi dalam air sejuk untuk tempoh panjang.
Berbanding kaedah bancuhan menggunakan air panas, proses ini menghasilkan kopi rasa lebih lembut dan kurang berasid.
Minuman ini biasanya dihidangkan sejuk bersama ais dan boleh dinikmati begitu sahaja atau dicampurkan dengan susu.