Makan 5 biji telur seminggu mampu kurangkan risiko Alzheimer - Kajian
TELUR merupakan makanan asas terbaik dalam kehidupan harian dan boleh disajikan dalam pelbagai bentuk hidangan lazat.
Ada yang gemar menikmatinya dalam bentuk sandwic bersama bacon rangup dan ada juga lebih suka telur hancur dihidangkan di atas roti bakar mentega.
Apa pun pilihan sajian, telur bukan sahaja mudah disediakan malah kaya dengan nutrisi penting untuk tubuh.
Terbaharu, kajian oleh penyelidik di Loma Linda University Health, Amerika Syarikat mendapati pengambilan telur secara sederhana dan konsisten mungkin membantu meningkatkan fungsi kognitif serta mengurangkan risiko Alzheimer.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Nutrition itu mendapati individu yang mengambil sebiji telur sehari sekurang-kurangnya lima hari seminggu berpotensi mengurangkan risiko Alzheimer sehingga 27 peratus.

Para penyelidik menjelaskan bahawa telur mengandungi kolina iaitu bahan penting yang membantu fungsi ingatan dan sambungan saraf dalam otak.
Selain itu, telur juga mengandungi karotenoid yang boleh berkumpul dalam tisu otak dan dikaitkan dengan peningkatan prestasi kognitif serta pengurangan tekanan oksidatif.
MENARIK DIBACA: 'Defrost' ayam cara mudah guna garam... Lepas 30 minit dah boleh masak, isi lebih lembut
MENARIK DIBACA: Gadis Kelantan kena 'bahan' di kolej gara-gara cakap 'mi dah bengkak'
Ketua penyelidik, Profesor Dr Joan Sabaté dari universiti itu berkata bahawa pengambilan telur yang lebih kerap tetapi masih dalam jumlah sederhana boleh memberi kesan perlindungan terhadap risiko Alzheimer.
Malah kajian itu juga menunjukkan makan telur satu hingga tiga kali sebulan dikaitkan dengan penurunan risiko 17 peratus manakala mengambil dua hingga empat kali seminggu dikaitkan dengan penurunan risiko 20 peratus.

Dijalankan dalam kumpulan Seventh-Day Adventist iaitu komuniti yang terkenal dengan gaya hidup sihat, hasil kajian menunjukkan bahawa pengambilan telur secara sederhana mungkin berkait dengan risiko Alzheimer yang lebih rendah.
Walaupun telur sering dianggap tinggi kolesterol, pakar menjelaskan bahawa hanya sebahagian daripada kolesterol itu akan diserap oleh badan.
Sebiji telur mengandungi kira-kira 400 milligram kolesterol secara purata tetapi tidak semuanya memberi kesan langsung kepada paras kolesterol dalam badan.
Selain itu, telur juga kaya dengan nutrien penting antaranya vitamin A yang baik untuk mata, sistem imun dan kesihatan kulit.
Putih telur pula mengandungi protein tinggi yang sering menjadi pilihan atlet malah mengandungi lesitin (lemak semula jadi) baik untuk sistem saraf.