Ada sebab tak digalak minum air sejuk kalau batuk, benda manis pun kena elak kalau nak cepat sembuh
BATUK memang boleh menganggu kehidupan seseorang terutama pada waktu malam sehingga boleh menganggu tidur!
Bahkan batuk juga boleh menganggu orang lain yang berada di sekeliling kita kerana bimbang akan turut dijangkiti.
Walaupun batuk merupakan mekanisme pertahanan badan untuk membersihkan saluran pernafasan, namun batuk secara berterusan dikhuatiri boleh menjadi punca kepada penyakit lain yang lebih serius.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada masalah batuk seperti akibat jangkitan influenza, alahan, asma dan pencemaran udara seperti habuk dan asap.
Seseorang yang mengalami batuk juga perlu menjaga pemakanan bagi mengelak masalah tersebut menjadi lebih serius, sekali gus memanjangkan lagi tempoh untuk sembuh.
MENARIK DIBACA: [V] Tak mudah bergelar atlet gimnas negara, Sharul Aimy disiplin bab diet - “Dulu badan saya berisi”
MENARIK DIBACA: Pulau Pinang Bandar Street Food Terbaik Asia, kalahkan Hanoi dan Bangkok
Kali ini, Kuali kongsikan sembilan makanan yang perlu dielak buat sementara waktu supaya masalah batuk tidak menjadi lebih buruk dan mempercepatkan proses untuk sembuh.

1. Makanan pedas
Mengambil makanan pedas seperti cili atau rempah sewaktu dijangkiti batuk boleh menyebabkan iritasi pada tekak sehingga mengakibatkan rasa gatal dan terbakar.
Bahkan, mengambil makanan pedas ketika batuk jua boleh meningkatkan asid dalam perut dan menjadi punca refluks asid dan batuk kering.

2. Susu dan produk tenusu
Seseorang yang mengalami masalah batuk dinasihatkan supaya tidak mengambil susu atau produk tenusu seperti keju dan yogurt kerana boleh meningkatkan produksi lendir dalam badan.
Pertambahan lendir dalam badan boleh menjadi punca rasa gatal pada tekak sehingga menyebabkan batuk berkahak.

3. Makanan bergoreng
Semua jenis makanan bergoreng diketahui memiliki kandungan lemak yang tinggi. Sama seperti susu, makanan bergoreng juga boleh menyebabkan iritasi pada tekak dan meningkatkan penghasilan lendir.
Makanan bergoreng juga boleh memburukkan lagi keradangan pada tekak dan melambatkan proses pemulihan batuk.

4. Makanan manis/tinggi gula
Makanan manis dan tinggi kandungan gula juga boleh menjadi faktor yang merangsang terjadinya lendir pada tekak sehingga mengakibatkan rasa gatal lalu batuk.
Selain itu, gula juga boleh mengakibatkan sistem imun dalam tubuh menjadi rendah dan melambatkan proses penyembuhan batuk.

5. Kopi dan minuman berkafein
Kopi atau minuman berkafein boleh menyebabkan dehidrasi pada tubuh sehingga mengakibatkan tekak menjadi kering.
Tekak yang kering lebih mudah mengalami iritasi sekali gus memburukkan keadaan batuk anda.
Selain itu, kafein juga boleh menyebabkan seseorang sukar untuk tidur pada waktu malam. Tidur yang cukup dan berkualiti merupakan sebahagian daripada proses pemulihan batuk.

7. Makanan masam
Makanan masam seperti jeruk, limau, dan tomato boleh mengakibatkan tekak anda mengalami keradangan.
Keradangan ini boleh menyebabkan batuk dan membuatnya ia menjadi lebih teruk. Selain itu, makanan masam juga boleh meningkatkan risiko refluks asid.

8. Makanan tinggi lemak
Makanan tinggi kandungan lemak seperti mentega dan makanan segera boleh meningkatkan risiko refluks asid.
Refluks asid adalah salah satu punca utama batuk yang berterusan.
Lemak melambatkan proses penghadaman, meningkatkan kemungkinan asid perut mengalir balik ke kerongkong dan menyebabkan keradangan yang menjadi punca batuk.

9. Makanan dan minuman sejuk
Minuman sejuk seperti aiskrim boleh menyebabkan saluran pernafasan mengecut dan meningkatkan penghasilan lendir.
Keadaan tersebut boleh memburukkan batuk terutamanya mereka yang sudah mempunyai jangkitan pada saluran pernafasan.
Walaupun aiskrim mungkin boleh melegakan tekak yang sakit buat sementara waktu, namun ia sebenarnya boleh melambatkan pemulihan batuk jika diambil secara berlebihan.