Ibu bapa kena cakna, 5 makanan ini melemahkan memori anak-anak
SETIAP ibu bapa tentu mahukan yang terbaik untuk anak mereka lebih-lebih lagi dalam hal pembelajaran dan perkembangan minda.
Ada sampaikan sanggup berbelanja lebih untuk membeli vitamin, supplement dan makanan tambahan demi memastikan anak lebih fokus dan mudah ingat apa dipelajari.
Tapi dalam sibuk mencari makanan menguatkan otak anak, kadang-kadang kita terlupa ada juga makanan harian boleh melemahkan daya ingatan mereka tanpa kita sedar.
Berikut adalah lima jenis makanan yang perlu dielakkan atau dikurangkan kerana berpotensi melemahkan memori anak.

1. Makanan tinggi gula
Makanan seperti gula-gula, minuman berkarbonat, jus kotak dan kek mengandungi kadar gula yang tinggi.
Pengambilan gula berlebihan dalam jangka masa panjang boleh menjejaskan keupayaan otak untuk memproses maklumat dan mengganggu memori jangka pendek.
MENARIK DIBACA: Memang sedap dibuat goreng sumbat sambal... Penghidap gout kena hati-hati, ikan cencaru boleh jadi ‘silent killer’
MENARIK DIBACA: Bukan setakat sedap buat colek, kena cuba kerabu buah limau gajah
Diet tinggi gula dikaitkan dengan keradangan otak dan pengurangan keupayaan neuroplastisitas iaitu keupayaan otak untuk membentuk sambungan baru.

2. Makanan segera
Burger, kentang goreng, sosej dan nugget yang tinggi lemak tepu serta bahan pengawet boleh menjejaskan kesihatan otak.
Lemak tepu yang berlebihan boleh mengurangkan keupayaan kognitif dan memberi kesan negatif kepada pembelajaran.
Tambahan pula, pengambilan makanan segera kerap dikaitkan dengan penurunan saiz bahagian otak yang berkaitan dengan pembelajaran dan ingatan.

3. Makanan pewarna/perisa tiruan
Ramai tidak sedar bahawa makanan ringan berwarna-warni seperti keropok, jeli dan minuman berkotak sering mengandungi bahan kimia tambahan.
Pewarna tiruan seperti tartrazine (E102) dikaitkan dengan masalah gangguan tumpuan dan hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.
Bahan-bahan ini boleh mengganggu keseimbangan kimia dalam otak dan menyebabkan penurunan fungsi memori dari semasa ke semasa.

4. Makanan tinggi garam
Snek bergaram seperti kerepek, biskut masin dan makanan dalam tin mempunyai kandungan natrium yang tinggi.
Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan menjejaskan aliran darah ke otak sekali gus mempengaruhi fungsi kognitif.
Kesannya? Anak mungkin menjadi lebih pelupa, kurang fokus dan mudah letih secara mental.

5. Minuman berkafein
Walaupun kafein biasanya dikaitkan dengan peningkatan tenaga, ia tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Minuman seperti teh tarik pekat, kopi dan sesetengah minuman tenaga boleh mengganggu pola tidur anak.
Kurang tidur akan memberi kesan langsung kepada keupayaan otak untuk menyimpan dan mengingati maklumat.
Tanpa rehat mencukupi, otak tidak dapat berfungsi secara optimum.