Garam dan asam jawa bukan sahaja hilangkan bau hanyir, buat ikan atau daging tahan lebih lama
KEBANYAKAN wanita berkerja tidak mempunyai kelebihan untuk memasak buat suami dan anak-anak setiap hari.
Biasanya para isteri akan memasak dalam kuantiti yang banyak dan menyimpannya di dalam peti sejuk beku dan dipanaskan semula apabila hendak makan.
Kaedah ini memang menjimatkan masa dan tenaga tetapi jika tidak disimpan dengan betul, lauk cepat basi.

Ia bukan sahaja membazir tetapi boleh membahayakan kesihatan.
Sebenarnya ada teknik tertentu bagi memastikan masakan yang disediakan sedap, tahan lama dan selamat dimakan walaupun selepas beberapa hari.
Jika anda tergolong dalam kategori wanita berkerjaya, petua ini sangat berguna dalam menyediakan makanan enak buat keluarga.
MENARIK DIBACA: Roti ‘expired’ jangan dibuang, penyelamat serap bau busuk peti sejuk
MENARIK DIBACA: Masak nasi memang tak susah, tapi ikut petua ini agar hasilnya lembut dan gebu

1. Tumis dengan betul
Pastikan semua bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih dan cili ditumis sehingga betul-betul masak. Ia bagi membolehkan sambal tahan lebih lama.
Bagi hidangan yang menggunakan daging seperti lembu atau kambing, amat penting merebusnya terlebih dahulu agar segala kekotoran dan darah dikeluarkan.
Cuci bersih sebelum dimasukkan dalam masakan anda.

2. Sejukkan sebelum simpan
Jangan simpan lauk yang masih panas terus ke dalam peti sejuk.
Biarkan ia sejuk pada suhu bilik terlebih dahulu untuk elak cepat rosak dan tidak mengganggu suhu peti sejuk.

3. Guna bekas kedap udara
Simpan lauk dalam bekas kedap udara supaya ia tidak mudah tercemar dan tahan lebih lama.

4. Simpan ikut tempoh
Suhu bilik tanpa peti sejuk: Lauk goreng boleh tahan 6–12 jam jika tidak berkuah.
Peti sejuk: Sesuai untuk simpan 1–2 hari.
Peti beku: Boleh tahan 1 minggu hingga sebulan bergantung jenis lauk.

5. Panaskan sebelum makan
Panaskan lauk sehingga mendidih untuk membunuh sebarang kuman atau bakteria yang mungkin ada.

6. Perap dengan kunyit dan asam jawa
Jika masak ikan atau pun daging, perap dengan garam bersama kunyit atau asam jawa sebelum dimasak.
Ia bukan sahaja menghilangkan bau hanyir tetapi menambah ketahanan daging atau ikan.
Goreng ikan sehingga garing agar ia lebih tahan lama jika disimpan di luar peti sejuk.