Daun salam bantu masalah insomnia, letak bawah bantal sebelum tidur
DAUN salam atau bay leaf bukan sekadar bahan biasa yang sering digunakan sebagai penyedap rasa pada masakan.
Namun hakikatnya, daun yang memiliki aroma khas ini telah digunakan sejak dahulu lagi dalam petua tradisional untuk mengatasi beberapa masalah kesihatan ringan termasuk menghalau serangga.
Selain harganya yang murah, daun salam juga lebih selamat digunakan kerana tidak mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan.
Berikut Kuali senaraikan enam petua yang boleh anda perolehi daripada manfaat daun salam.

1. Halau rama-rama
Debu sayap rama-rama boleh menyebabkan rasa gatal pada kulit serta kerengsaan mata terutama individu yang mempunyai masalah alahan pada serangga.
Untuk menghindari rama-rama daripada masuk ke dalam rumah, letakkan daun salam di beberapa sudut di dalam rumah, termasuk dalam almari pakaian.
Aroma daun salam tidak disukai rama-rama, sekali gus menghindari serangga itu masuk ke dalam rumah.

2. Usir lalat, nyamuk dan semut
Menggunakan penyembur serangga atau lingkaran ubat nyamuk merupakan cara biasa untuk menghalau serta membunuh serangga seperti nyamuk, lalat dan semut.
Namun daun salam juga dapat membantu mengusir dan menghapuskan serangga seperti nyamuk dan lalat.
Caranya bakar beberapa helai daun salam dan biarkan asapnya menyebar ke seluruh rumah. Cara ini dapat mengusir lalat, nyamuk dan semut tanpa menggunakan bahan kimia berbahaya.

3. Hindari kutu beras
Pelbagai petua diketahui boleh menhindari masalah kutu dalam beras antaranya dengan menggunakan bawang putih dan cili kering.
Sebagai tambahan, daun salam juga berfungsi untuk menghindari kutu daripada membiak dan menghuni di dalam bekas menyimpan beras anda.
Caranya masukkan sehelai daun salam ke dalam bekas menyimpan beras. Aroma daun salam boleh mencegah kutu beras dan membuatkan stok makanan anda lebih bersih dan tahan lama.

4. Melegakan selesema
Selain berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan, daun salam juga berupaya membantu anda melegakan masalah pernafasan akibat selesema.
Caranya, rendam beberapa helai daun salam ke dalam air panas lalu sedut wap yang terhasil.
Kaedah ini dapat mengurangkan masalah selesema dan melegakan pernafasan akibat hidung tersumbat.

5. Menghilangkan rasa penat
Rasa stres, penat dan sakit otot merupakan antara gejala yang sering dialami oleh mereka yang kuat bekerja.
Untuk kelegaan, berendamlah ke dalam air suam bersama beberapa helai daun salam.
Daun salam mengandungi minyak aroma terapi semula jadi yang membantu memberikan rasa tenang dan menghilangkan kepenatan.

6. Susah tidur
Masalah sukar tidur atau insomnia yang berterusan boleh mengganggu kehidupan harian anda kerana kurangnya rehat yang cukup.
Sebagai langkah awal mengatasi masalah tersebut, cuba letakkan beberapa helai daun salam di bawah bantal sewaktu tidur.
Aroma semula jadi daun salam boleh memberikan rasa tenang sekali gus membantu anda untuk tidur lebih nyenyak dan berkualiti.