KUALI | Pastri
Sejuk je masuk tekak, kena cuba puding kustard buah lai dan bunga kekwa
BUKAN sekadar puding kustard biasa, gabungan bunga kekwa dan buah lai dalam resipi ini menghasilkan rasa yang luar biasa dan beraroma lembut.
Bayangkan selepas seharian berpuasa, dapat pula makan puding manis sejuk yang sarat dengan taburan buah-buahan segar, memang terasa nikmat setiap suapan.
Lebih-lebih lagi, teksturnya yang berkrim dan manisnya sederhana membuatkan pencuci mulut ini tidak muak walaupun dinikmati selepas berbuka.
MENARIK DIBACA : Ini cara buat kek gula hangus paling mudah, hasilnya pasti gebu dan cantik 'bersarang'
MENARIK DIBACA : Tak susah pun buat kuih cara, sedap dimakan panas-panas!
Bahan-bahan
Air Rebusan
- 1/4 biji buah lai (dibelah 4)
- 1 sudu besar bunga kekwa kering
- 1/4 cawan golden raisin
- 250 ml air
Custard
- 1/2 cawan gula tebu
- 2 biji kuning telur
- 200 ml whipping cream
- 2 cawan susu segar
- 1/2 cawan air rebusan tadi (termasuk semua rasa)
- 4 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu kecil ekstrak vanila
- Secubit garam Himalaya
Buah-buahan
- 1 biji pisang (dipotong dadu kecil)
- 3 ulas nangka (dipotong dadu kecil)
- 1/2 biji mangga (dipotong dadu kecil)
Cara Penyediaan
- Rebus buah lai, bunga kekwa dan golden raisin bersama air sehingga buah lai menjadi lembut dan raisin kembang. Aroma bunga kekwa akan memberi rasa harum semula jadi pada custard.
- Ketepikan bunga kekwa. Potong buah lai kepada dadu kecil dan toskan golden raisin. Simpan air rebusan untuk digunakan dalam custard.
- Dalam periuk lain, campurkan semua bahan custard. Kacau sehingga sebati sebelum menyalakan api.
- Masak dengan api sederhana sambil terus dikacau sehingga adunan menjadi likat dan berkrim.
- Susun buah lai yang telah direbus ke dalam cawan atau mangkuk hidangan. Tuangkan custard panas ke atasnya.
- Taburkan buah-buahan potong dan golden raisin di atas custard.
- Sejukkan puding di dalam peti sejuk sehingga mengeras sebelum dihidangkan.
- Akhir sekali, hias dengan bunga kekwa.
